rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) antara fokus Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam menerajui pasukan keselamatan utama negara.
Selain meneruskan usaha dilaksanakan Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini, beliau berkata, fokus terhadap teknologi itu turut akan diketengahkan demi kemajuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Melalui ruang dan peluang diberikan, saya percaya akan membawa PDRM lebih cemerlang selari dengan perubahan pemodenan pasukan terutama membabitkan teknologi terkini.
“Isu AI perlu diketengahkan supaya pasukan kita lebih maju pada masa akan datang serta dapat menangani semua permasalahan yang timbul sama ada dalam bentuk jenayah atau apa saja ancaman kepada negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Paluan Berundur Ketua Polis Negara-14 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mohd Khalid berkata, beliau juga akan meneruskan pemimpin terdahulu dalam mempertingkatkan keupayaan dan kredibiliti pasukan.
Katanya, antara lain adalah usaha menangani isu jenayah rentas sempadan.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberi kepercayaan terhadapnya dalam menerajui PDRM.
“Ia adalah tanggungjawab dan amanah kepada saya untuk bersama-sama dengan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Mohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 23 Jun sehingga 22 Jun 2027.
Pelantikan selama dua tahun itu diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd