Penghantar makanan sempat 'pecut', cedera di dahi elak disamun

Penghantar makanan sempat 'pecut', cedera di dahi elak disamun



hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Gerak hati seorang penghantar makanan menyelamatkannya daripada menjadi mangsa dalam kejadian disyaki cubaan samun di Jalan UKM Bangi, di sini, semalam.

Bagaimanapun remaja lelaki berusia 18 tahun itu cedera di dahi ketika menyelamatkan diri daripada empat lelaki tidak dikenali yang menaiki Perodua Bezza.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa pada 12.37 tengah malam, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal melalui Jalan UKM Bangi dari Bandar Seri Putra ke Teras Jernang ditahan sebuah kenderaan dipercayai jenis Perodua Bezza yang dinaiki empat lelaki di tepi jalan.

“Remaja itu yang merasakan dirinya akan disamun terus memecut motosikalnya dan ketika itu salah seorang suspek sempat memukul kepalanya dengan tangan namun dia berjaya melarikan diri.

“Remaja itu juga tidak mengalami sebarang kerugian harta benda namun lebam di dahi akibat dipukul ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Naazron berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian samun dan serangan membabitkan suami isteri serta anak mereka seperti yang tular di media sosial.

Katanya, ia hasil semakan dilakukan pihaknya susulan dakwaan tular memaparkan laporan polis dan mesej perbualannya di media sosial yang dikesan pada 1.14 tengah hari, hari ini.

“Semakan sudah dibuat dan kita mendapati tiada sebarang laporan kejadian seperti yang ditularkan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat masing-masing mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top