Penghidap penyakit kulit meninggal dunia

Penghidap penyakit kulit meninggal dunia


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas sembilan tahun berjuang melawan psoriasis, Abdul Ghani Majib iaitu penghidap penyakit kulit itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 8.30 malam semalam.

Allahyarham Abdul Ghani dijemput Ilahi pada usia 64 tahun dan meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Berita duka itu dikongsikan anak bongsunya, Edzrin Abdul Ghani, 26, menerusi satu kiriman mesej dihantar kepada Harian Metro.

“Babah dah (sudah) hembus nafas terakhir pada pukul 8.30 malam tadi (semalam),” tulisnya ringkas.

Jumaat lalu, Edzrin berkongsi keadaan kesihatan Abdul Ghani yang semakin membimbangkan dan meminta orang ramai menitipkan doa buat bapanya itu.

Harian Metro menghubungi Edzrin ketika itu dan dimaklumkan Abdul Ghani dalam keadaan kritikal.

“Babah tengah tenat, nazak di Hospital Kulim, Kedah,” tulisnya menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Edzrin yang tidak mengharapkan apa-apa hadiah sempena ulang tahun kelahirannya pada 8 Julai lalu melainkan bapanya dipanjangkan umur serta diberi kesembuhan.

Ia kerana Edzrin tidak sanggup melihat bapanya terus menderita akibat psoriasis yang menyerang sejak 2019 bermula dengan kegatalan, tompok dan parut hitam pada bahagian kaki.

Kata Edzrin, penyakit itu mengakibatkan kulit wajah dan seluruh badan bapanya bersisik.

Menurut Edzrin, puluhan ribu ringgit sudah dibelanjakan untuk merawat bapanya yang pernah menerima rawatan di di pusat perubatan swasta sebelum dirujuk ke Hospital Kulim, Kedah dan Hospital Pulau Pinang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top