BEKAS bintang Arsenal, Emmanuel Petit, meluahkan kebimbangan mengenai masa depan Mikel Arteta di kelab itu dan menyifatkan pengurus Sepanyol itu kini menunjukkan tanda-tanda penghujung eranya di Emirates.
Untuk tiga musim berturut-turut, Arsenal berkemungkinan besar bakal menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tempat kedua walaupun mencatatkan jumlah mata terbaik sejak era ‘Invincibles’.
Kegagalan menyaingi Manchester City dalam perebutan kejuaraan sebelum ini menjadikan musim kelima Arteta lebih mencabar dan mengecewakan.
Kelemahan City musim ini memberi peluang kepada kelab lain untuk merampas kedudukan teratas namun ia gagal digunakan Arsenal yang menyaksikan pasukan itu dibelenggu masalah kecederaan.
Dengan hanya sembilan perlawanan berbaki, mereka kini ketinggalan 12 mata di belakang Liverpool dan memerlukan keajaiban untuk kembali bersaing.
Bagaimanapun, Arsenal masih berpeluang menutup musim ini dengan gemilang dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, namun mereka perlu melepasi cabaran Real Madrid terlebih dahulu.
Petit percaya bahawa Arteta semakin sukar menyembunyikan kekecewaannya terhadap prestasi pasukan dalam liga, terutamanya selepas kekalahan mengejut di laman sendiri kepada West Ham.
Petit, yang membantu Arsenal menjulang kejuaraan liga dan Piala FA pada 1998 di bawah Arsène Wenger, berkata Arteta telah membawa perubahan besar kepada kelab, tetapi mungkin masanya sudah hampir tamat.
“Arsenal seakan hilang arah dalam saingan liga, terutama selepas kekalahan kepada West Ham di tempat sendiri.
“Dia kini memasuki musim penuh keenamnya sebagai pengurus. Saya menghormati perubahan yang dibawa, terutama dari segi mentaliti dan identiti pasukan, namun saya merasakan kisahnya di Arsenal semakin menuju penghujung.
“Semangat yang pernah ada kini semakin pudar dan bukan salahnya sepenuhnya. Saya rasa dia kekurangan pemain yang tepat untuk melaksanakan visinya.
Lihat sahaja apa yang berlaku ketika William Saliba cedera dalam perebutan kejuaraan musim lalu. Saat-saat genting seperti ini memerlukan skuad yang lebih mendalam dan berkualiti,” katanya.
Petit menegaskan bahawa masalah utama Arsenal bukan terletak pada Arteta, tetapi pada kualiti dan kedalaman skuad.
“Untuk bergelar juara, anda memerlukan pemain yang tepat. Malangnya, Arsenal masih belum cukup bersedia meskipun ada peluang untuk memperbaikinya,” katanya.