Pengiktirafan peniaga cemerlang pacu kualiti juadah iftar

Pengiktirafan peniaga cemerlang pacu kualiti juadah iftar



am@hmetro.com.my

Melaka: Dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai, penganjur bazar Ramadan di Sungai Udang, di sini, memberikan empat anugerah kepada peniaga.

Penghargaan terbabit ialah anugerah gerai terbersih, terkemas, terbaik dan jualan peniaga terlaris.

Usaha terbabit memberi impak kepada 161 peniaga yang bersungguh-sungguh menyediakan juadah iftar terbaik kepada lebih 6,000 penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Pengerusinya Maznah Atan berkata, pendekatan itu jelas menarik perhatian orang ramai untuk berkunjung di bazar terbabit kerana faktor kebersihan, keselesaan dan keselamatan kepada mereka untuk memilih pelbagai hidangan iftar.

“Empat anugerah berkenaan disediakan dalam misi memastikan tiada insiden keracunan makanan atau insiden tidak diingini berlaku termasuk gerai kotor dan tidak terurus.

“Justeru, setiap hujung minggu kami akan menyediakan hadiah hamper kepada peniaga terpilih mengikut kriteria yang kami tetapkan,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama, pihaknya kerap membuat pemantauan tahap kebersihan dan keselamatan di jalan raya di kawasan terbabit bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Sementara itu, salah seorang penerima anugerah, Mohd Fuad Husin, 53, berkata, usaha penganjur berkenaan amat dipuji kerana memberi imej yang sihat kepada penganjuran bazar Ramadan di kawasan terbabit.

“Ia penting untuk memastikan peniaga sentiasa mematuhi amalan kebersihan sihat bermula dari pengumpulan bahan mentah, penyediaan makanan, susunan dan kekemasan serta perkhidmatan jualan kepada pelanggan,” katanya.

Dia yang berniaga mi bandung menganggap sambutan di bazar berkenaan amat baik kerana orang ramai mampu membuat pelbagai pilihan dalam membeli hidangan disediakan peniaga.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top