Pengiring kenamaan tumbuk pemandu OKU didenda RM1,000

Pengiring kenamaan tumbuk pemandu OKU didenda RM1,000


KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis yang bertugas sebagai pengawal pengiring orang kenamaan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menumbuk seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU), enam bulan lalu.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan menjatuhi hukuman tersebut ke atas Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail, 32, selepas merekodkan pengakuan tersebut. Tertuduh juga boleh dipenjara selama 20 hari jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Taufik didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Ong Ing Keong, 47, di hadapan lobi Hotel St. Regis di sini pada pukul 11.40 pagi, 28 Mei lalu.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima setahun, atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-dua sekali.

Terdahulu, peguam bela, A. Ashok yang mewakili tertuduh memohon hukuman yang minima kerana tertuduh kesal serta insaf dan memohon maaf kepada mangsa dan pihak keluarga.

“Kecederaan dalam kes ini bukan kecederaan parah. Tiada pendarahan, (mangsa) mengalami kecederaan ringan dan kesalahan berlaku ketika tertuduh menjalankan tugas (mengiring). Ia bukan merupakan jenayah terancang, tiada motif dan tiada penggunaan senjata,” kata Ashok.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana ia melibatkan kes kepentingan awam yang mendapat liputan media meluas.

“Mohon satu hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya jadi satu pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh tapi kepada masyarakat dan mengambil kira pengadu merupakan seorang OKU. Tertuduh sepatutnya membantu mangsa, bukannya datangkan kecederaan kepada mangsa,” kata Razali.

Mengikut fakta kes, pengadu yang bekerja sebagai pemandu e-hailing telah memandu kenderaannya jenis Toyota Vios ke hadapan lobi Hotel St. Regis untuk mengambil penumpang.

Setibanya di tempat kejadian, pengadu telah menunggu penumpangnya lebih kurang selama 5 minit. Semasa penumpang yang dinantinya masuk ke dalam kenderaan, pengadu telah melihat ada beberapa orang termasuk tertuduh yang bertindak seperti pengawal peribadi orang kenamaan berada di situ dan menunjukkan isyarat tangan kepadanya untuk beredar dari situ.

Walau bagaimanapun, pengadu tidak faham kerana merupakan seorang OKU pekak dan bisu.

Pengadu telah membuka cermin kenderaannya dan mengangkat tangan kepada tertuduh untuk bertanya berkenaan apa yang terjadi dalam bahasa isyarat tangan.

Secara tiba-tiba, tertuduh telah menumbuk pengadu di bahagian mukanya dan menyebabkan pengadu berasa sakit di bahagian pipi sebelah kanan.





Source link

OR

Scroll to Top