Kuala Lumpur: Beberapa langkah bantuan kos sara hidup yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini disifatkan sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI yang tidak tunduk kepada tekanan sesetengah pihak yang cuba menggugat kestabilan negara.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, dalam konteks ini, ABIM yakin pengumuman itu akan memberikan nilai tambah yang lebih menyeluruh dan berimpak jangka panjang menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.
“Inisiatif seperti pemberian tunai RM100 secara sekali bayar kepada semua orang dewasa, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter dan peningkatan peruntukan Jualan Rahmah MADANI antara lain sebagai langkah segera yang mampu meringankan beban kos sara hidup yang kini menghimpit majoriti rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, manfaat sebenar inisiatif itu hanya akan dapat dirasai oleh rakyat jika pelaksanaannya berasaskan integriti, tadbir urus yang cekap dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“ABIM percaya kejayaan Malaysia MADANI hanya akan terjamin dengan gabungan komitmen politik yang kukuh, sokongan masyarakat sivil yang aktif dan progresif serta dukungan berterusan semua rakyat Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pemantauan yang menyeluruh serta ketelusan dalam pelaksanaan semua inisiatif yang diumumkan dan pihaknya komited untuk terus menjadi rakan strategik dalam menyokong agenda reformasi, khususnya yang menegakkan prinsip keadilan sosial dan tadbir urus yang baik.
Ahmad Fahmi turut merakamkan penghargaan terhadap pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri hari ini yang menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menangani isu utama rakyat serta meneruskan kejayaan agenda pemulihan dan pembaharuan negara.
Sementara itu, Anwar Ibrahim Club (AIC) dalam kenyataan hari ini menyifatkan pengumuman Perdana Menteri itu sebagai bukti keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat, terutama dalam mendepani tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Ia adalah cerminan komitmen kepimpinan negara dalam memastikan rakyat terus disantuni dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.
Sebagai sebuah gerakan masyarakat yang mendukung gagasan Malaysia MADANI, AIC memaklumkan inisiatif itu membuktikan suara dan keperluan rakyat sentiasa diberi keutamaan dalam setiap perancangan kerajaan.
Sehubungan itu, AIC menyeru seluruh rakyat agar terus memberikan sokongan terhadap usaha-usaha pembaharuan yang sedang giat dilaksanakan kerajaan demi masa depan negara yang lebih sejahtera, stabil dan berdaya saing.
© New Straits Times Press (M) Bhd