KUALA LUMPUR – Parti Gerakan kecewa dengan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menuduh kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap disebabkan oleh kaum bukan Melayu yang tidak keluar mengundi.
Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam menyifatkan kenyataan itu bukan sahaja tidak berasas tetapi juga tidak adil kepada pengundi bukan Melayu yang setia menyokong proses demokrasi negara ini.
“Sepatutnya Rafizi membuat rumusan bahawa pengundi bukan Melayu sudah malas mahu melayan cakap kosong dan formula songsong anda. Malah pengundi Melayu sudah tidak suka dengan Pakatan Harapan yang sering kali menindas rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Wendy, menuding jari kepada satu-satu kaum bukanlah pendekatan yang membina dalam usaha memperkuatkan parti dan meraih sokongan rakyat.
Ia kerana tanggungjawab untuk menang dalam pilihan raya terletak pada kemampuan parti untuk memahami dan memenuhi kehendak serta aspirasi semua rakyat, tanpa mengira kaum.
“Rafizi seharusnya introspeksi dan mengkaji kelemahan dalam strategi dan pendekatan PKR yang mungkin telah menyumbang kepada kekalahan ini.
“Menyalahkan pengundi, lebih-lebih lagi berdasarkan kaum, hanya akan meretakkan lagi perpaduan dan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap parti. Sokongan pengundi tidak dibina dalam sehari, lebih-lebih lagi tidak boleh dianggap sebagai hak semula jadi.
“Parti anda sepatutnya merenung kembali bagaimana untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik dalam usaha untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan mereka,” ulas beliau lagi.
Wendy berkata, sejak kehilangan Pulau Pinang pada tahun 2008, Gerakan menghadapi pelbagai cabaran dan cercaan, namun tetap aktif berkomunikasi dengan pengundi.
“Walaupun mengalami kekalahan tipis di beberapa kawasan, pernahkah kami menyalahkan pengundi?,” soalnya.
Oleh itu, Gerakan menyeru ‘Raja Formula’ dan semua pemimpin politik untuk berhenti mencari alasan yang tidak munasabah dan sebaliknya bekerja lebih keras untuk memahami kehendak dan harapan rakyat. – MalaysiaGazette