Pengurangan 5,000 kakitangan Petronas kebanyakannya kontrak – Anwar

Pengurangan 5,000 kakitangan Petronas kebanyakannya kontrak – Anwar


am@hmetro.com.my

Sepang: Sebanyak 10 peratus atau seramai 5,000 kakitangan yang akan dikurangkan Petrolium Nasional Bhd (Petronas), kebanyakannya adalah berstatus kontrak.

Demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, ketika diminta mengulas mengenai keputusan serta langkah diambil syarikat minyak dan gas negara itu dalam melaksana pengurangan kepada kakitangannya.

“Kebanyakannya kontrak,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas selesai solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Jalan Pinggiran Putra, di sini, hari ini.

Terdahulu, sebelum solat Jumaat, Anwar berkesempatan makan tengah hari di sebuah restoran berhampiran surau berkenaan bersama pengunjung.

Semalam, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menjelaskan, keputusan itu diambil selepas syarikat itu berdepan cabaran operasi yang sukar, terutamanya disebabkan kejatuhan harga minyak mentah.

Katanya, bilangan kakitangan yang terbabit dalam proses pengurangan itu berjumlah kira-kira 5,000 orang dan mereka yang terbabit akan dimaklumkan secara berperingkat sepanjang tahun depan.

Tengku Muhammad Taufik juga berkata, kumpulan itu menyasarkan operasi yang lebih kecil dan tangkas walaupun harga minyak mencecah paras tertinggi AS$100 setong (AS$1 = RM4.23).

Menurutnya, berdasarkan keadaan sebelum ini apabila lapangan minyak mengecil, margin keuntungan sebelum cukai syarikat itu adalah pada kira-kira 35 hingga 40 peratus.

Anggaran peruntukan perbelanjaan Petronas adalah berdasarkan minyak Brent pada sekitar AS$75 (RM318.41) hingga AS$80 (RM338.20) setong.

Minyak penanda aras global itu kini didagangkan hampir AS$65 (RM274.79), turun kira-kira 13 peratus tahun ini, berikutan ketegangan perdagangan yang menjejaskan pertumbuhan global serta usaha OPEC+ untuk memulihkan pengeluaran.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Petronas mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion, turun 31.7 peratus daripada RM80.7 bilion setahun sebelumnya, berikutan purata harga direalisasi yang lebih rendah dan pelarasan cukai pada 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top