Pengurus restoran promosi agenda komunis diberkas – KPN

Pengurus restoran promosi agenda komunis diberkas – KPN


PETALING JAYA : Tindakan seorang pengurus restoran di Jalan Kasuarina 6/KS7, Bandar Botanic, Klang, dekat sini menggunakan peralatan makanan bagi mempromosikan agenda komunis mengundang padah apabila dia diberkas polis semalam.

Penahanan lelaki berusia 20 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam semalam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan beliau berkata, serbuan dilakukan selepas satu laporan polis diterima berhubung sebuah video yang diambil dari pautan YouTube atas akaun ‘Luiswong90’ mengenai sebuah kedai makan.

Kata beliau, dalam paparan video tersebut terlihat beberapa peralatan makanan di kedai tersebut berunsurkan agenda komunis dengan cara cetakan imej propaganda dan slogan komunisme pada setiap barangan tersebut.

Jelas beliau, satu laporan polis dibuat selepas pengadu berpendapat perbuatan pemilik kedai ini telah menyalahi undang-undang.

“Siasatan awal polis mendapati restoran tersebut menghidangkan makanan jenis barbeku versi China yang menawarkan makanan seperti ayam, babi, lembu dan sayur-sayuran.

“Hasil semakan di laman web b.cari.com.my, kita dapati sebuah video yang diambil daripada pautan YouTube atas akaun ‘luiswong90’ memaparkan restoran itu mempunyai beberapa peralatan hidangan makanan dan minuman seperti pinggan, mangkuk, teko, gelas dan cawan gambar pemimpin komunis,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, video berdurasi satu minit 24 saat dimuatnaik sejak sepuluh hari yang lalu dan telah mendapat sebanyak 3,800 tontonan, 94 tanda like dan 25 komen.

Beliau berkata, hasil serbuan dilakukan, sebanyak lima mangkuk seramik saiz kecil warna putih berjalur biru tercatit tulisan Bahasa Cina dan bergambar disyaki muka Presiden Komunis China bernama Mao Zedong bersama rakan-rakannya telah dirampas.

“Kita (polis) turut merampasa satu cawan kaca teh seramik warna putih berjalur biru tercatit tulisan Bahasa Cina dan gambar beberapa orang,

“Selain, tiga sudu sup seramik warna putih berjalur biru terdapat gambar disyaki muka Presiden Komunis China nama Mao Zedong dan resit perniagaan bertarikh semalam (tiga keping),” ujarnya.

Razarudin memberitahu, hasil soal siasat mendapati suspek telah bekerja sejak bulan Oktober tahun lalu dengan kadar bayaran gaji sebanyak RM4,500 sebulan.

“Suspek mengaku barang-barang tersebut dibeli oleh rakan pemilik restoran yang tinggal di negara China dan dihantar ke Malaysia untuk digunakan di restoran tersebut.

“Permohonan reman keatas suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Klang Dan dibenarkan reman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 & 505(b) Kanun Keseksaan,”jelasnya.

Beliau menambah, semakan lesen dan pemilik premis akan dibuat kepada pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sama ada restoran berkenaan mempunyai lesen sah atau tidak.

“Manakala semakan keatas pemilik akaun ‘luiswong90’ akan dibuat kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) atas paparan video di laman sosial,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top