PASIR SALAK: Pengusaha dodol terkenal di Kampung Empai Teluk Sareh di Kampung Gajah di sini berdepan cabaran berikutan kekurangan bekalan santan segar untuk memenuhi tempahan dan jualan pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Saerah Abdul Majid, 85, atau dikenali Opah Yang berkata, dia memerlukan bekalan santan yang secukupnya dengan permulaan dua tan untuk membuat dodol dan kuih raya.
Namun dia berdepan cabaran kerana bukan sahaja kekurangan bekalan santan tetapi juga kenaikan harga yang ketara sehingga mencecah RM15 sekilogram berbanding RM13 sebelum ini.
Katanya, ini kali pertama dia mengalami masalah kekurangan santan berikutan musim pokok kelapa kurang buah terutama di Bagan Datuk.
Begitu pun, katanya, untuk menaikkan harga jualan, dia harus mempertimbangkan sebaik mungkin kerana tidak mahu menjejaskan pelanggan.
“Kebiasaannya, untuk memproses membuat dodol, kami memerlukan santan daripada kelapa tua kerana kelapa tua menghasilkan kuantiti santan yang berkualiti.
“Kami tetap berusaha mencari bekalan santan agar dapat menghasilkan dodol yang mencukupi untuk permintaan pelanggan pada hari raya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Opah Yang berkata, antara alternatif yang akan dilakukan ialah membeli kelapa daripada penduduk di kampung berdekatan yang mempunyai pokok kelapa.
Menurutnya, ketika ini dia sudah mula menerima tempahan dodol dan biskut raya termasuk dari luar Perak. – UTUSAN