September 8, 2024

Pengusaha kraf bakal raih manfaat pengecualian visa 30 hari ke China

Pengusaha kraf bakal raih manfaat pengecualian visa 30 hari ke China


Beijing: Pelanjutan tempoh pengecualian visa ke China selama 30 hari daripada 15 hari bakal memberi manfaat kepada usahawan Malaysia terutama yang terlibat dalam industri kraftangan dan tekstil negara.

Presiden Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) Nik Faiz Nik M Amin berkata pihaknya menyambut baik inisiatif itu memandangkan pemain industri terbabit mengalami kesukaran untuk mendapatkan visa ke China sebelum ini.

“Kadang-kadang kita terpaksa mengadakan lawatan China secara ad hoc. Untuk kami mendapatkan kelulusan visa itu amatlah susah sebelum ini.

“Dengan pelanjutan sampai 30 hari itu, lebih menggembirakan kami kerana China adalah sebuah negara yang besar dan membolehkan kami melawat beberapa tempat,” katanya kepada Bernama.

Tahun 2024 merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa China telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa pelancong Malaysia daripada 15 hari ke 30 hari.

Ahmad Zahid berkata persetujuan itu dicapai ketika kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang baru-baru ini dan pelaksanaan akan dibuat selepas perjanjian mengenai perkara berkenaan ditandatangani pada kunjungan Qiang ke Malaysia bulan depan.

Nik Faiz yang juga usahawan batik dari Kota Bharu, Kelantan berkata beliau telah didedahkan kepada pasaran di China sejak lapan tahun lepas menerusi jenama batiknya ‘Ruzzgahara’.

“Pasaran di China adalah besar. Walaupun China adalah antara pengeluar sutera terbesar dunia, tetapi permintaan mereka (terhadap batik sutera) amat besar dan kuasa membeli di sini amat tinggi. Saya rasa ia membuka peluang untuk saya mengembangkan lagi kepada kraf yang pelbagai,” katanya.

Selain batik, Nik Faiz turut melihat potensi pemasaran produk kraftangan Malaysia seperti anyaman dan songket di China yang mempunyai permintaan luas, walaupun terdapat produk tempatan yang hampir sama.

“Mereka menerima kepelbagaian itu, bukan hanya (produk) dalam negara mereka tetapi juga daripada Malaysia,” katanya.

Sementara itu, penggiat seni Arja Lee menyifatkan keputusan pengecualian visa selama 30 hari tersebut sebagai sesuatu yang wajar dikekalkan.

“Bagi saya, ia merupakan satu akses untuk membuat pelancong dari Malaysia untuk kerap ke China, bukan sahaja untuk percutian tetapi untuk mempelbagaikan kerjasama antara Malaysia dan China,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top