Peniaga Bazar Pulau Pinang ‘Tarik Nafas Lega’, Lebih RM2.5 Juta Dana BARAKAT Disalur!

Peniaga Bazar Pulau Pinang ‘Tarik Nafas Lega’, Lebih RM2.5 Juta Dana BARAKAT Disalur!


Berita baik buat peniaga bazar dan usahawan kecil di Pulau Pinang! Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya TEKUN Nasional terus menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan mikro di negeri itu.

Sehingga 4 Mac 2026, sebanyak 357 permohonan telah diterima dengan jumlah kelulusan pembiayaan hampir mencecah RM2.5 juta. Angka ini jelas menunjukkan permintaan tinggi dalam kalangan peniaga bazar dan perniagaan kecil yang mahu merebut peluang menjana pendapatan sepanjang Ramadan dan musim perayaan.

YB Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong, baru-baru ini turut turun padang ke Uptown Bandar Perda untuk bertemu dan menyantuni para penerima skim tersebut.

Dalam lawatan itu, beliau menyerahkan cek cura secara simbolik kepada tiga peniaga yang masing-masing menerima pembiayaan sebanyak RM30,000.

Antara penerima ialah Mohd Rahim Ibrahim yang telah 11 tahun menjalankan perniagaan pakaian jeans dan menggunakan dana tersebut untuk memperkukuh bekalan stok sempena musim perayaan.

Turut menerima pembiayaan ialah Mohamad Afif Mohamad Salim yang sudah enam tahun berniaga pakaian dan memanfaatkan dana bagi menampung peningkatan permintaan sepanjang Ramadan.

Sementara itu, Moktar Daud yang telah 20 tahun mengendalikan perniagaan cermin mata juga menerima jumlah sama untuk menambah stok menjelang Syawal.

Di bawah Skim BARAKAT, pembiayaan sehingga RM30,000 ditawarkan dengan kadar keuntungan rendah iaitu 3 peratus setahun serta tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan.

Pemohon tidak dikenakan simpanan wajib, namun caruman PERKESO adalah diwajibkan. Permohonan skim ini dibuka sehingga 15 Mac 2026 dan peniaga yang layak digalakkan untuk merebut peluang sebelum tarikh tutup.

Skim ini terbuka kepada Bumiputera dan warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 65 tahun, termasuk usahawan TEKUN sedia ada tertakluk kepada syarat jumlah keseluruhan pembiayaan tidak melebihi RM100,000.

Menurut Steven Sim, pihak KUSKOP dan TEKUN Nasional akan memastikan proses birokrasi diminimumkan agar penyaluran dana dapat dipercepatkan, sekali gus membantu peniaga memanfaatkan sepenuhnya peluang perniagaan sepanjang Ramadan dan Syawal.

Pelaksanaan Skim BARAKAT ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa usahawan mikro agar terus berdaya saing dan mampu meningkatkan pendapatan, khususnya pada musim perayaan yang menjadi tempoh penting bagi kebanyakan peniaga kecil.

Hebatkan Perniagaan Malaysia.






Source link

OR

Scroll to Top