Peniaga dilepas, bebas tuduhan sebar berita palsu vaksin Covid-19

Peniaga dilepas, bebas tuduhan sebar berita palsu vaksin Covid-19



am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Selepas tiga tahun, seorang peniaga dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini daripada pertuduhan menyebar berita palsu kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin Covid-19.

Hakim Rohaida Ishak membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan yang mewakili Muhammad Zaki Omar, 39, berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes yang melangkaui keraguan yang munasabah terhadap tertuduh.

“Dengan keputusan ini, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Sementara itu, peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili tertuduh ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa niat tertuduh ketika memuat naik hantaran adalah untuk menuntut pampasan bagi pihak mangsa vaksin dan bukan menyebarkan berita tidak benar atau menimbulkan kegusaran atau kegentaran awam.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Zaki didakwa menggunakan Facebook dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam pada 11.39 malam, 3 April 2021.

Muhammad Zaki didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan dan Datin Yasinnisa Begam Seeni Mohideen dan 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Pada 6 September lalu, Muhammad Zaki yang berdepan pertuduhan melakukan komunikasi jelik terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kesan pengambilan vaksin turut dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Edwin Paramjothy Micheal Muniandy selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top