am@hmetro.com.my
Hulu Terengganu: Peniaga rokok elektronik didenda RM10,000 atas dua kesalahan membabitkan penjualan rokok elektronik dan gagal mempamerkan tanda amaran larangan jualan produk merokok kepada individu berusia bawah 18 tahun.
Majistret Nur Athirah Hashim menjatuhkan hukuman itu selepas Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibaca secara berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama, Tun Mohd Anuar Tuan Mohd, yang juga pemilik premis didakwa menjual bahan merokok bersama barang sebagai suatu hadiah di premis perniagaannya di daerah Hulu Terengganu pada 26 Februari tahun lalu.
Oleh itu, ia adalah perbuatan yang dilarang mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian mengenakan denda RM7,000 atau enam bulan penjara sekiranya OKS gagal membayar denda.
Sementara itu di mahkamah sama, OKS turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu gagal mempamerkan tanda amaran larangan jualan produk merokok kepada individu berusia bawah 18 tahun dan perbuatan itu dilakukan di premis yang sama.
Bagi kesalahan kedua, mahkamah mengenakan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika OKS gagal membayar denda.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama Peraturan 7(1) yang mewajibkan setiap premis mempamerkan tanda amaran larangan jualan produk merokok kepada golongan bawah umur.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kesihatan, Alias Awang Kechik manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd






