Peniaga rugi khemah jualan rosak diterbangkan ribut

Peniaga rugi khemah jualan rosak diterbangkan ribut


KULIM: Sebanyak 15 buah khemah di tapak ekspo sebuah karnival makanan di sini musnah akibat diterbangkan angin ketika ribut melanda kawasan itu, pagi tadi.

Salah seorang mangsa, Hasliana Hassan, 34, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika dia dan lapan pekerjanya sedang tidur di dalam khemah tersebut.

“Sekitar pukul 4.20 pagi, kejadian bermula dengan tiupan angin perlahan sebelum ia bertukar kuat dalam masa singkat. Kami sangka hanya angin biasa, tapi tidak sangka sangat kencang. 

“Pekerja saya sempat memegang tiang khemah, namun dalam masa dua minit sahaja, khemah terus terangkat dan kami semua serta barangan berniaga basah terkena air hujan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hasliana yang menjual makanan berasaskan sup berkata, mereka menyelamatkan diri ke sebuah pasar raya berdekatan selepas menyedari keadaan semakin bahaya.

“Mujurlah kejadian ini berlaku pada hari terakhir karnival yang berlangsung selama enam hari. Kerugian keseluruhan termasuk bahan mentah dan kelengkapan dianggarkan mencecah RM15,000,” jelasnya.

Sementara itu, Imran Daud, 34, yang menjual ayam gunting berkata, ketika kejadian dia tiada di khemah kerana pulang bermalam di inap desa disewanya.

“Saya hanya tahu kejadian ribut selepas dihubungi rakan-rakanm khemah dan barangan perniagaan milik saya juga musnah,” katanya yang kerugian sekitar RM500.

Sementara itu, seorang wakil penganjur memaklumkan, terdapat 30 khemah jualan beroperasi pada karnival itu namun hanya 15 buah khemah yang terjejas.

Katanya, iini kali kedua dia berdepan situasi buruk sepanjang menganjurkan ekspo selepas kejadian sama pernah berlaku di Padang Serai di sini pada Mac 2023. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top