Peniaga simpan, cuci sayur dalam tandas sebelum dijual

Peniaga simpan, cuci sayur dalam tandas sebelum dijual


KUALA LUMPUR –  Sebuah kedai runcit di kawasan perindustrian Tanjung Minyak Perdana di Melaka didapati bukan sahaja menyimpan tetapi juga membasuh sayur di dalam tandas sebelum dijual kepada pelanggan.

Perbuatan itu telah melanggar Akta Harga Kawalan dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, kesalahan itu terbongkar dalam satu operasi mengejut, Op Samar pada akhir bulan lalu.

“Operasi dijalankan berdasarkan hasil intipan dan aduan orang awam. Susulan itu, pemeriksaan telah dijalankan pada 30 September lalu dari pukul 10 pagi hingga 1 petang.

“Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa telah menemui beberapa bakul sayuran yang disimpan terlebih dahulu di dalam tandas. Kami mengesyaki bagi tujuan dicuci sebelum dijual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan yang dijalankan secara menyeluruh pada semua barangan pula mendapati terdapat pek laksa segera telah tamat tempoh dan tidak sesuai masih dijual kepada pengguna.

“Setelah diperiksa, premis yang merupakan usahasama warga tempatan dan asing itu gagal mematuhi AKHAP 2011.

“Beberapa kesalahan lain yang dikenal pasti adalah kegagalan pengendali premis mematuhi Perintah Penandaan Harga pada Barangan dan Caj Perkhidmatan 2020 termasuk mengenakan caj penghantaran,” kata Norena.

Selain itu, katanya, peniaga terbabit juga tidak mengamalkan aspek kebersihan yang baik pada barangan yang hendak diniagakan di mana pihaknya menemui najis tikus di bawah peti sejuk di dalam premis berkenaan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top