Penilaian definisi T15 selesai bulan depan

Penilaian definisi T15 selesai bulan depan


MELAKA – Penilaian terhadap tangga gaji kumpulan T15 atau 15 peratus rakyat berpendapatan tinggi dijangka selesai bulan depan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pengkelasan kumpulan tersebut adalah berbeza mengikut lokasi dan tidak ditetapkan satu angka yang seragam bagi seluruh negara.

Jelas beliau, pengkelasan kategori pendapatan terbaharu itu akan ditentukan bersandar kepada pendapatan boleh belanja bersih serta perbelanjaan asas kehidupan wajar.

“Beri kami masa dalam tempoh satu bulan ini untuk menilai prosesnya dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk melihat data sedia ada dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan data-data yang lain.

“Lepas itu barulah kita akan serahkan kepada Kabinet untuk dapatkan persetujuan,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Banda Hilir di sini, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, 18 Oktober lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15.

Pengumuman itu menimbulkan pelbagai reaksi mengenai kaedah pengkelasan kumpulan pendapatan tersebut.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, penetapan kadar mengikut lokaliti adalah bagi memberi keadilan kepada seluruh rakyat.

“…Contohnya kita ambil pendapatan RM15,000 ke atas untuk satu negara dan itulah yang berlaku ketidakadilan ini kerana nilai itu kalau di Kuala Lumpur ada yang kata dia miskin lagi tapi di Gua Musang memang kayalah.

“Jadi penentuannya mengikut lokasi dan tidak akan jadi satu angka nasional,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top