sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Juara Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi sandaran utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memburu gelaran kedua apabila beraksi di Malaysia Masters dari 20 hingga 25 Mei ini.
Malah Aaron-Wooi Yik turut mengakui mereka menyasarkan mara ke final di kejohanan bertaraf Super 500 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu.
Sasaran itu turut didorong dengan kenaikan hadiah kemenangan wang tunai bernilai AS$475,000 (RM2,096,413) iaitu peningkatan sebanyak AS$55,000 (RM242,743) daripada jumlah sebelumnya iaitu AS$420,000 (RM1,853,670).
“Peningkatan ini sememangnya menjadi motivasi buat kami dan kami berharap dapat membawa pulang sebahagian besar daripada hadiah wang tunai itu.
“Kami sasarkan untuk mara ke final dan membanggakan penyokong di tanah air,” kata Aaron.
Sementara itu, Wooi Yik mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat tanah air untuk hadir memberikan sokongan.
“Pastinya selepas menang Kejohanan Badminton Asia, ramai yang meletakkan harapan kepada kami. Kami akan berikan yang terbaik biarpun persaingan dari rakan senegara pun sengit.
“Kami sudah bersedia berdepan siapa saja lawan dan harap sokongan yang berterusan daripada peminat untuk melihat kami beraksi,” katanya.
Seramai 280 pemain badminton terbaik dari seluruh dunia sudah mengesahkan penyertaan untuk menghangatkan Axiata Arena, bulan depan.
Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia turut akan diwakili beregu wanita nombor lima dunia, Pearly Tan-M Thinaah, serta pasangan beregu lelaki nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang dijangka menjadi tumpuan dalam kejohanan ini.
Tahun lalu, bintang perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai menceriakan penyokong tuan rumah apabila mara ke perlawanan akhir.
Soon Huat dan Shevon menewaskan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, sekali gus merangkul kejuaraan di hadapan ribuan penonton yang memenuhi Axiata Arena.
Namun Zii Jia terpaksa akur apabila tewas kepada Viktor Axelsen dari Denmark dalam final perseorangan lelaki.
Tiket untuk kejohanan itu akan mula dijual pada Jumaat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd