Peningkatan panggilan kecemasan palsu tanda keretakan nilai masyarakat

Peningkatan panggilan kecemasan palsu tanda keretakan nilai masyarakat


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu peningkatan ketara jumlah panggilan kecemasan palsu yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak tiga tahun kebelakangan ini bukan sekadar statistik, malah ia adalah cerminan kepada keretakan dalam benteng nilai masyarakat.

Pensyarah Fakulti Undang Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Siti Hafsyah Idris berkata, peningkatan panggilan palsu ini satu ‘major red flag’ yang menunjukkan masyarakat sedang mengalami krisis empati yang serius.

“Dalam konsep MADANI, kita mempunyai nilai ihsan, namun apabila ada yang sanggup menjadikan talian kecemasan sebagai bahan lawak, itu tandanya prinsip kesopanan dan kesusilaan sudah mula pudar di kalangan masyarakat.

“Kita kena faham yang aset bomba adalah harta rakyat bermakna ia adalah harta kita juga dan perbuatan sabotaj seperti ini bukan sahaja menunjukkan sifat ‘low-class’ tetapi juga menunjukkan tahap kematangan intelektual yang rendah sehingga sanggup menggadai nyawa orang lain demi keseronokan kosong,” katanya di sini, hari ini.

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM itu berkata, budaya ‘prank’ membuatkan ramai masyarakat hilang pertimbangan dan disebabkan rasa ‘selamat’ menyorok di belakang skrin (anonimiti), ramai yang menjadi berani tidak bertempat sehingga hilang adab dan rasa malu.

“Kita seolah-olah lupa yang di hujung talian itu ada anggota bomba yang betul-betul sedang ‘struggle’ untuk selamatkan mangsa, dan bukannya watak di dalam ‘game’ atau skrip video media sosial. “Teknologi sepatutnya membuatkan kita lebih maju, bukan menjadi alat untuk kita ‘dehumanize’ (menghilangkan sifat kemanusiaan) atau memperlekehkan tugas hero negara,” katanya.

Siti Hafsyah berkata, untuk mengubah perkara itu, ia tidak boleh mengharapkan kepada denda semata-mata sebaliknya perlu mengubah mentaliti mengenainya.

“Kita perlu ‘rebrand’ semula mentaliti melalui pendidikan adab yang betul bukan setakat hafal buku teks tetapi praktikkan nilai ihsan dalam dunia digital.

“Kita perlukan tekanan sosial positif jadikan perbuatan panggilan palsu ini nampak ‘cringe’ dan memalukan di dalam kalangan kelompok kita. Jika kita mahu komuniti selamat dan sejahtera, kita perlu hentikan normalisasi perkara tidak bermanfaat dan tidak beretika sebelum ia menjadi barah lebih besar dalam masyarakat,” katanya.

Semalam media melaporkan, JBPM menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketara jumlah panggilan kecemasan palsu yang diterima sejak tiga tahun kebelakangan ini kerana ia bukan sahaja membabitkan pembaziran sumber, malah boleh menjejaskan keberkesanan operasi menyelamat.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 141 panggilan palsu direkodkan pada 2023, meningkat kepada 196 panggilan pada 2024 seterusnya kepada 255 panggilan pada tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top