Penjaga rumah amal GISBH didakwa rotan kanak-kanak 6 tahun

Penjaga rumah amal GISBH didakwa rotan kanak-kanak 6 tahun


SELAYANG – Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal tersebut.

Tertuduh, Mohd Syahid Hanapiah,35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @Harun di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menganiaya seorang kanak-kanak berusia enam tahun dengan merotan mangsa yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan.

Suspek lelaki, Mohd Syahid Hanapiah, 35 dibawa anggota polis ke mahkamah atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak yang juga penghuni sebuah rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) di Mahkamah Selayang. Foto FAREEZ FADZIL, 04 OKTOBER 2024.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di tingkat 2, Blok A, Jalan Desa 9/2 di Bandar Country Homes, Rawang, pada waktu pagi di antara bulan Februari hingga September lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, beliau mencadangkan jaminam sebanyak RM20,000 beserta tiga syarat tambahan.

Ketiga-ketiga syarat tambahan itu adalah tertuduh dilarang keras untuk berjumpa dan mengganggu mangsa, melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan hendaklah boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan direndahkan kerana mengalami masalah kewangan, keluarga dan tiada sumber pendapatan.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan jaminan ke atas tertuduh sebanyak RM10,000 berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 5 November depan dan tertuduh diwakili peguam.

Awal bulan lalu, polis telah melancarkan Op Global dengan menyerbu beberapa rumah amal dikaitkan dengan GISBH di seluruh Semenanjung disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan, seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut.

Pada 25 September lalu, seorang guru agama dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Klang kerana menekan dada murid menggunakan lutut dan merotan tiga kanak-kanak di sebuah pusat pendidikan dan kebajikan GISBH hingga tular di media sosial.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dihadapinya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top