amir_hamid@mediaprima.com.my
Sebut berkaitan hobi, setiap individu pasti ada minat masing-masing.
Bagi penduduk di beberapa daerah di Kelantan, ada satu hobi unik yang tular dan diminati ramai iaitu membela belalang kerek.
Belalang untuk pertandingan ini juga dikenali sebagai belalang kerek dan belalang rusa.
Bagi Wan Mohammad Haikal Hakim Wan Mohammad Nor, 26, dari Kampung Baru Nelayan, Tumpat, minat terhadap serangga dengan nama saintifik ‘Orthoptera tettigoniidae’ itu bermula apabila dia sering berkunjung ke lokasi pertandingan bunyi belalang.
“Pada awalnya, saya hanya menyaksikan pertandingan sebelum saya membeli seekor belalang di Pangkalan Kubor pada harga RM5.
“Tanpa disangka, belalang berkenaan dinobatkan juara selain mendapat tempat kedua dan tiga dalam beberapa pertandingan,” katanya yang bekerja tetap di sebuah syarikat penghantaran.
Menurut Haikal, keunikan belalang ini terletak pada kelajuan bunyi yang dihasilkan atau disebut sebagai ‘butir’ oleh peminatnya.
Dalam satu-satu pertandingan, bunyi berkenaan akan akan dinilai oleh pengadil.
“Rekod paling laju belalang saya pernah buat adalah 52 butir bunyi dalam masa 30 saat.
“Ada juga kategori ‘Ai Sora’ iaitu yang menilai kemerduan suara, tetapi kategori butir paling popular kerana kelajuannya,” jelas Haikal yang memiliki koleksi belalang diberi nama ‘VIP Thai’, ‘Taik Siem’, ‘Key’ dan ‘Pidah’.
Menjaga belalang kerek ini ada seninya.
Menurut Haikal, belalang ini berehat waktu siang dan aktif pada waktu malam, sangat sensitif dengan cahaya serta bunyi bising.
Bagi memastikan ia galak berbunyi, sangkarnya perlu ditutup dengan kain atau kelambu supaya keadaan menjadi gelap sepenuhnya.
“Setiap pagi, belalang ini perlu dimandikan dengan disembur air.
“Ia makan sengkuang atau timun. Jika mahu ia berbunyi dalam pertandingan, kita perlu pastikan suasana betul-betul gelap,” katanya.
Menariknya, kononnya ada juga pantang larang membabitkan belalang kerek.
Menurut Haikal, belalang kerek dikatakan boleh ‘merajuk’ dan enggan berbunyi sekiranya pemiliknya bersikap sombong atau ‘kecek besar’ (cakap besar).
“Kita ‘main’ (hobi bela belalang) untuk ‘happy-happy’ sahaja. Kalau kita terlalu mengharap atau sombong, ada kalanya belalang ‘tak kokok’ (istilah membawa maksud tidak mahu mengeluarkan bunyi).
“Jadi, kena rendah diri,” tambahnya.
Hobi ini bukan sekadar suka-suka, malah pertandingan disertai turut menawarkan hadiah lumayan.
Selain barangan keperluan rumah seperti bantal, toto dan tilam, penganjur pertandingan pernah menawarkan hadiah lumayan termasuk kambing, lembu selain kereta.
Nilai pasaran belalang ini juga boleh mengejutkan jika kita bukan peminatnya.
Walaupun boleh dibeli serendah RM5 atau dicari sendiri di hutan, belalang yang sudah bergelar juara boleh mencecah harga RM800 hingga RM1,000 seekor.
Haikal turut bersyukur kerana isterinya menyokong hobinya itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






