Penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman penghormatan besar – Bergson

Penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman penghormatan besar – Bergson


Ghani bersama Indra Putra menyerahkan Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Super Malaysia Sepanjang Zaman kepada Pemain JDT, Bergson.

‘MESIN gol’ Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva menyifatkan pengiktirafan selaku penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman merupakan satu penghormatan besar dalam kariernya sebagai bola sepak.

Malah katanya, pengiktirafan itu lebih mengujakan apabila namanya kini dalam sejarah bola sepak negara setelah meledak 109 jaringan sepanjang lima musim bersama skuad Harimau Selatan.

“Perkara ini juga menyuntik semangat saya tampil dengan komitmen melebihi 100 peratus untuk sentiasa berada pada tahap terbaik bagi melakar lebih banyak kejayaan.

“Apapun semua itu tidak akan berhasil tanpa kerjasama berpasukan dan kami ibarat keluarga besar yang saling membantu antara satu sama lain.

“Kini setelah lima musim bersama JDT dan ditambah dengan pengiktirafan itu, ia menguatkan lagi keyakinan dan meningkatkan motivasi bagi menyesuaikan diri dengan idea dan cabaran baru,” katanya.

Replika pengiktirafan disampaikan kepada Bergson oleh bekas penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman, Indra Putra Mahayuddin yang merekod 106 gol dengan disaksikan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, pada Khamis.

Tambah Bergson, dia juga memberikan penghormatan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang disifatkannya sebagai tulang belakang kejayaan JDT selain sentiasa memberikan kata-kata semangat bukan sahaja kepada dirinya malah kesemua pemain Harimau Selatan.

“Kesemua pemain juga mempunyai hubungan rapat dengan Boss (Tunku Mahkota Ismail) yang sering memberi nasihat dan motivasi kepada kami dan saya mungkin sering diberi perhatian kerana selaku penyerang Boss kerap mendorong saya menjadi pemain yang lebih baik,” kata Bergson.

Sementara itu, Indra Putra menyifatkan kejayaan Bergson sebagai sesuatu yang `luar biasa’ apabila berjaya memecahkan rekodnya yang meledak 106 gol.

Bagaimanapun katanya, pencapaian tersebut sudah pastinya akan membantu meningkatkan lagi kualiti dalam saingan Liga-M.

“Sebenarnya kita nak lahirkan ramai penyerang tempatan dan apabila mereka mempunyai keinginan untuk mencapai sesuatu iaitu selaku penjaring, ia sudah cukup baik malah akan membantu skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

“Justeru, saya ingin melihat pemain tempatan tidak kira penyerang atau pemain tengah untuk muncul sebagai penjaring terbanyak.

“Ini kerana kita sendiri lihat agak sukar mengesan penyerang tempatan untuk menjadi penyerang di skuad kebangsaan dan kini tiba masanya pemain tempatan tampil beri saingan,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Bergson da Silva dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan 109 gol
  • Pengiktirafan ini meningkatkan semangatnya untuk berkomitmen lebih dalam permainan
  • Kerjasama berpasukan dan sokongan sebagai keluarga besar menjadi faktor utama kejayaannya
  • Bergson memberi penghormatan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai tulang belakang kejayaan JDT
  • Replika pengiktirafan disampaikan oleh bekas rekod pemegang, Indra Putra Mahayuddin yang merekod 106 gol



Source link

OR

Scroll to Top