Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan bahawa baki satu bulan setengah gaji bagi Bantuan Khas Kewangan (BKK) akan dibayar kepada penjawat awam pada 18 Disember ini. Pembayaran ini melengkapkan jumlah keseluruhan tiga bulan gaji yang diumumkan sebagai penghargaan kepada penjawat awam negeri.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu adalah kesinambungan bayaran yang telah diberikan pada awal tahun. “BKK ini sebahagian daripada tiga bulan gaji sebagai penghargaan dan dorongan kepada khidmat penjawat awam negeri,” katanya selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2026.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan tersebut merangkumi pemberian kepada pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan Kampung Baru, Bagan dan Tersusun, ketua komuniti India, penyelia Wanita Berdaya serta Penggerak Belia Selangor, yang masing-masing akan menerima satu bulan elaun.
Petugas masjid pula bakal menerima RM500 sumbangan daripada Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Amirudin menjelaskan bahawa walaupun BKK tidak diumumkan secara terperinci dalam teks belanjawan, ia tidak menjejaskan perjalanan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Selangor 2026. “Ada dalam teks, dan apa sahaja dalam teks dianggap sebahagian daripada ucapan,” katanya.
Tahun lalu, Selangor menyalurkan BKK sebanyak dua bulan gaji yang dibayar secara berperingkat. Tahun ini, jumlah itu ditingkatkan sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap kebajikan penjawat awam dan pemimpin akar umbi.






