JUTAWAN terkemuka Britain, Sir Jim Ratcliffe, terus mengorak langkah dalam usaha penjimatan kos di Manchester United.
Terbaharu, kantin kakitangan di Stadium Old Trafford akan ditutup digantikan dengan buah-buahan sebagai hidangan tengah hari percuma, lapor The Guardian.
Langkah ini juga dijangka dilaksanakan di pusat latihan The Red Devils di Carrington, di mana hanya pemain akan menerima makan tengah hari percuma, manakala kakitangan lain akan ditawarkan sup dan roti.
Kantin kakitangan di Old Trafford, yang biasanya beroperasi dari jam 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, dijangka ditutup pada hujung minggu ini.
Kakitangan yang sebelum ini menikmati makanan, teh, kopi dan minuman ringan percuma menggunakan pas mereka kini perlu membayar untuk semua itu.
Buah-buahan akan disediakan secara percuma sebagai hidangan tengah hari bagi kakitangan yang bekerja di stadium.
Namun, kakitangan yang bertugas pada hari perlawanan akan terus menerima makan tengah hari yang dibungkus seperti sebelum ini.
Keputusan Ratcliffe ini dilihat sebagai langkah terbaharunya dalam usaha kelab mengurangkan kos, ketika pemilik Ineos itu mahu memastikan United kembali berdaya saing dari segi operasi di peringkat elit.
United dilaporkan mengalami kerugian £300 juta (RM1.7 bilion) dalam tempoh tiga tahun lalu.
Kelab itu juga perlu menjual pemain untuk memperkuatkan skuad kendalian Ruben Amorim pada musim panas ini.
Pengurusan Manchester United bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara ini.
Langkah penjimatan ini mencerminkan komitmen Ratcliffe untuk memulihkan kestabilan kewangan kelab dan memastikan United mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Ia juga memberi petanda bahawa lebih banyak perubahan mungkin akan dilakukan dalam usaha menjadikan United lebih efisien dan berdaya saing.