Kuala Lumpur: Penjual jagung yang mencetuskan kontroversi selepas memaparkan papan tanda berunsur perkauman, memohon maaf kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya kaum India atas perbuatannya yang boleh menjejaskan keharmonian.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di X berkata, peniaga itu juga telah berjanji tidak akan mengulangi perbuatan pada masa akan datang.
“Pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) iaitu Encik Roseman dan Encik Syawal telah menjadi orang tengah dalam menyelesaikan polemik ini.
“Peranan mereka dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai ejen perpaduan dan penyelesaian masalah. Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara,” katanya.
Aaron berkata permohonan maaf itu diadakan di sebuah restoran di Sepang, malam tadi yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.
“Saya ingin menegaskan bahawa kita semua harus sentiasa berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan kita tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan, atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya, dan kaum yang berbeza.
“Malaysia sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan agama, dan adalah tanggungjawab kita bersama untuk menjaga keharmonian ini. Perpaduan negara hanya dapat dicapai jika setiap individu mengamalkan nilai saling memahami, menghormati, dan menerima perbezaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd