KETUA Pegawai Eksekutif Serie A, Luigi De Siervo menyifatkan penstriman haram dan kekurangan hasil televisyen sebagai faktor utama di sebalik kesukaran Itali dalam membangunkan bakat bola sepak tempatan.
Situasi ini berlaku ketika pasukan kebangsaan Gli Azzurri berusaha untuk kembali ke kancah Piala Dunia buat kali pertama sejak 2014.
Itali yang pernah menjadi pasukan tetap di Piala Dunia dan juara dunia empat kali, kini berdepan dilema apabila terlepas dua edisi terakhir temasya itu dan berisiko terlepas edisi ketiga selepas tewas dalam aksi kelayakan pertama menentang Norway.
Pihak berkuasa Itali baru-baru ini telah mempergiat usaha memerangi cetak rompak dalam talian, yang telah menelan belanja berbilion euro kepada penyiar dan liga sukan di seluruh dunia.
Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah mereka untuk melindungi nilai hak penyiaran.
Hak penyiaran merupakan sebahagian besar daripada pendapatan Serie A, dan De Siervo berkata masih banyak yang perlu dilakukan selepas saingan terkenal Eropah itu kehilangan hasil berjumlah €300 juta tahun lalu.
“Ramai mempersoalkan mengapa pasukan kebangsaan kita berada dalam situasi ini dan mengapa terdapat kekurangan bakat. Salah satu sebabnya ialah kerugian akibat cetak rompak.
“Semua wang yang hilang setiap tahun tidak dilaburkan dalam pasukan remaja dan dalam pembangunan pemain muda kita, isu utama yang menyebabkan pasukan kebangsaan kita menghadapi banyak kesukaran,” kata De Siervo.
De Siervo turut menambah, “Selain itu, kemudahan yang usang tidak membenarkan kelab dan sistem untuk mendapatkan hasil yang tinggi. Ini perlu diubah dan undang-undang ini bergerak ke arah yang betul.”
Pada masa sama, De Siervo memberi amaran, jika mereka terus kehilangan pendapatan, Itali dan Serie A boleh jatuh dalam ranking koefisien Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
“Kami sudah jauh ketinggalan di belakang Liga Perdana Inggeris dan La Liga Sepanyol.
“Jika kita terus begini, kita akan berada di belakang Jerman dan kita akan berakhir di bahagian bawah jadual (lima liga teratas Eropah) bersama-sama dengan Perancis,” katanya.