Pentas buat anak 'Afrika' julang trofi Euro 2024

Pentas buat anak 'Afrika' julang trofi Euro 2024


Susunan Ferzalfie Fauzi

ferzalfie@hmetro.com.my

Berlin: Euro 2024 disebut sebagai ‘festival’ anak migran dan pelarian yang cemerlang dalam bola sepak dan ada di antara mereka berjaya membawa negara masing-masing mara sehingga ke final awal pagi Isnin ini seperti mana dilakukan oleh Nico Williams dan Lamine Yamal untuk Sepanyol, manakal England pula terdiri daripada Marc Guehi, Kobbie Mainoo dan Bukayo Saka.

Kejayaan mereka adalah hasil daripada pengorbanan luar biasa ibu bapa mereka yang melalui perjalanan penuh cabaran untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Kejayaannya menggambarkan pola migrasi bersejarah di Eropah seperti mana penyerang Sepanyol, Williams walaupun dilahirkan di Pamplona, mempunyai latar belakang negara Afrika, Ghana.

Ibu bapanya melalui perjalanan berbahaya merentasi padang pasir Sahara dengan tidak memakai kasut dan menghadapi pelbagai cabaran sebelum tiba di Sepanyol.

Dia dan abangnya, Inaki, yang kini bermain untuk pasukan kebangsaan Ghana, mencerminkan bagaimana latar belakang migrasi mempengaruhi identiti peribadi dan profesional mereka.

Yamal yang bakal menyambut hari lahir ke-17 esok, mencatatkan kemunculan yang lebih pantas berbanding legenda seperti Pele dan Lionel Messi, memecahkan norma bola sepak yang sedia ada.

Yamal tidak hanya merubah cara permainan bola sepak, tetapi juga mengubah persepsi masyarakat Sepanyol.

Bapa Yamal berasal dari Maghribi, manakala ibunya dari Equatorial Guinea dan selepas perceraian mereka, Yamal tinggal bersama ibunya di kawasan kejiranan pendatang miskin di Mataro, di pantai Catalan.

Yamal merayakan setiap gol dengan membuat isyarat nombor 304 menggunakan tangannya, sebagai penghormatan kepada kod pos kawasan kediamannya.

Sementara itu, Saka, pemain sayap Arsenal, adalah contoh cemerlang bagaimana latar belakang keluarga boleh memberi petunjuk mengenai asal-usul seseorang.

Dilahirkan kepada ibu bapa Yoruba dari Nigeria, nama Saka sendiri sudah memberikan petunjuk mengenai asal-usulnya.

Di peringkat remaja, Saka mewakili England dengan cemerlang dan kini meneruskan kerjayanya di peringkat senior dengan kejayaan yang sama.

Walaupun Persekutuan Bolasepak Nigeria berusaha untuk memikat Saka untuk mewakili Nigeria, usaha gagal kerana Saka sudah bermain dalam semua peringkat umur untuk England.

Pada tahun 2020, Saka menyatakan bahawa keputusan memilih England adalah kerana mereka mempunyai ‘masa depan yang cerah’.

“Saya berbangga dengan warisan Nigeria saya. Saya mengikuti permainan mereka dan mendoakan yang terbaik untuk mereka. Ibu saya dilahirkan di Nigeria, dan ayah saya di England, tetapi kedua-duanya membesar di Nigeria – di situlah mereka bertemu,” kata Saka.

Kisah mereka menggambarkan bagaimana bola sepak di Eropah menjadi platform penting untuk mobiliti sosial bagi migran dan keturunan mereka.

Pasukan di Euro 2024 menunjukkan kepelbagaian budaya dan latar belakang yang mencerminkan masyarakat Eropah yang moden.

Kesatuan Bolasepak Eropah (Uefa) yang juga penganjur Euro 2024, menekankan kepentingan kemampanan melalui inisiatif ‘Football for the Goals’ yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Inisiatif ini menunjukkan bagaimana bola sepak dapat menyumbang kepada perubahan sosial positif dan menyokong usaha global untuk mengatasi cabaran seperti kemiskinan, ketidaksamaan, dan perubahan iklim.

Dengan pencapaian pemain-pemain ini, Euro 2024 bukan hanya mengenai kemenangan di padang bola, tetapi juga menghargai perjalanan dan perjuangan yang membawa mereka ke tahap ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top