georgie@hmetro.com.my
SELEPAS kejayaan tiga musim terdahulu, The Knights Award Musim 4 (TKA4) dilangsungkan secara berprestij sekali lagi di Dewan Filharmonik PETRONAS di Menara Berkembar PETRONAS, KLCC, 7 Oktober ini.
Tentu sekali, antara agenda dinantikan tidak lain persembahan pentas di mana beberapa nama ikonik bakal beraksi. Ia pastinya menjadikan acara terbabit lebih meriah dengan barisan penghiburnya.
Presiden The Knights Award, Dr Zyro Wong amat teruja kerana latar belakang artis-artis terbabit bukan calang-calang.
Paling penting, katanya, adalah menunjukkan kepelbagaian bangsa dan budaya.
“Kami sudah pun mendapatkan beberapa penyanyi yang akan membuat persembahan untuk kami. Seorang daripadanya penyanyi legenda iaitu Datuk Amy Search.
“Kami buat pemilihan itu kerana kami cuba untuk menampilkan kepelbagaian kaum. Malaysia berbilang kaum dan sebagai rakyat yang sangat berbangga, saya ingin kita menjadi tuan rumah.
“Walaupun Malaysia kecil, tetapi kita sangat kaya dengan budaya kita. Kita kaya dengan kepelbagaian, dan oleh itu, anugerah ini adalah mengenai kepelbagaian,” katanya.
Menurut Zyro, besar harapannya TKA4 menjadi medan memartabatkan lagi keindahan Malaysia. Ini kerana, acara itu bakal dihadiri ramai nama besar dan berpengaruh dari seluruh dunia.
“Matlamat besar kami adalah mengenai kekayaan warisan dan juga, begitulah cara kami mempamerkan Malaysia. Untuk persembahan, ada dari komuniti Melayu, kami juga ada dari komuniti Cina, iaitu Pin Kuan.
“Pin Kuan akan membuat persembahan dan kami juga ada beberapa persembahan dari negara-negara lain juga,” katanya.
Acara pengiktirafan antarabangsa itu sudah meraikan 150 kisah cemerlang merentasi pelbagai bidang. Ia membentuk sebuah pentas elit di mana kerjasama rentas industri terus berkembang maju.
TKA4 sudah bersedia menyambut delegasi antarabangsa serta pemenang dari seluruh dunia, sekali gus memperlihatkan kebanggaan Malaysia di pentas global.
Menariknya, kali ini pemenang Grammy, Peabo Bryson dari Amerika Syarikat yang terkenal dengan lagu-lagu Beauty and the Beast dan A Whole New World turut hadir sebagai penerima TKA4.
Pelakon terkenal Hong Kong dan penerima tiga kali TVB Best Actor, Wayne Lai, juga bakal hadir. Penyanyi tular, Rozette dari Kanada yang sangat popular khususnya di China, turut membuat penampilan sulungnya di sini.
TKA4 adalah sebuah acara pengiktirafan terhadap individu-individu terpilih atas sumbangan luar biasa mereka terhadap industri masing-masing, mencerminkan kecemerlangan, inovasi dan kelestarian.
Tahun ini menandakan satu pencapaian penting kerana TKA4 dianjurkan bersama Commonwealth Youth Innovation Hub yang mewakili 56 negara anggota Komanwel.
“Kerjasama ini mengukuhkan lagi misi kami meletakkan Malaysia sebagai hub global keusahawanan, budaya, dan pembangunan lestari. Juga mewujudkan peluang untuk kerjasama rentas sempadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd