GOMBAK: Umat Islam perlu mengetahui metodologi yang betul dalam memahami perkara berhubung peristiwa akhir zaman di mana penting perbicaraan atau kajian mengenainya dilakukan berlandas al-Quran dan as-Sunnah.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustzz Azhar Yahya berkata, salah satu daripada kaedah dalam memahami atau mengkaji hal-hal akhir zaman secara gagasan pemikiran yang sistematik adalah melalui Fiqh at-Tahawwulat.
“Ini kerana perkara-perkara yang berkaitan akhir zaman telahpun berlaku pada masa ini, tetapi jangan lupa juga bahawa terdapat sesetengah golongan yang melakukan manipulasi terhadap perkara tersebut.
“Maka pentingnya Seminar Mencerap Fenomena Zaman Fitnah pada ini supaya mengajar umat Islam kaedah yang betul mengenai perkara tersebut,” katanya.
Beliau mengulas demikian ketika ditemui HarakahDaily selepas menyampaikan ucaptama pada seminar tersebut di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, di sini hari ini.
Tambah beliau, kaedah tersebut telah diasaskan oleh seorang ulama berasal dari negara Yaman iaitu Al-Habib Abu Bakar al-Adni bin Ali al-Masyhur yang lahir di Kota Ahwar, Aden pada tahun 1947.
“Fiqh at-Tahawwulat adalah gagasan yang diperkenalkan oleh Al-Habib Abu Bakar Al-‘Adni atau boleh dimaknakan sebagai ‘kefahaman berevolusi’ atau ‘faham progresif’ atau pengkaji sendiri lebih cenderung memaknakannya sebagai ‘kefahaman dinamik’.
“Mengapa dimaknakan sedemikian? Kerana tumpuan Fiqh at-Tahawwulat adalah menyediakan penyelesaian terhadap kerumitan dalam memahami nas-nas berkenaan petanda akhir zaman.
“Di samping memberi jalan keluar daripada kekeliruan dalam memilih cara yang tepat (terbaik) bagi menyelamatkan diri daripada bahana dan bahaya akhir zaman,” ujar beliau.
Pembentangan seminar berkenaan turut disampaikan oleh penulis buku ‘Huraian Hadis Geoeskatologi’, Ustaz Alang Ibnu Shukrimun dan Mudir Maahad Darul Fikri, Ustaz Khairul Azmi Ismail.
Juga penulis buku ‘Di Ambang Kehancuran Dunia dan Imam Mahdi dan Peristiwa Akhir Zaman’, Ustaz Muhammad Mujahid Ir Fadzil dan penulis buku ‘Survival Iman-Tadabbur Surah Al-Kahfi’, Ustaz Abdul Mu’izz Muhammad.
Sehubungan itu Ustaz Azhar menyatakan, pentingnya kajian peristiwa akhir zaman dilakukan berlandaskan kepada asas Al-Quran dan Sunnah kerana umat mempunyai pandangan yang berbeza.
Tegas beliau lagi, ini kerana kajian sebegitu tidak boleh digunakan berasaskan akal fikiran semata-mata di mana Ustaz Azhar turut memperincikan beberapa contoh popular dalam masyarakat.
“Ramai orang Islam pada hari ini telah mempunyai pandangan yang terpesong mengenai akhir zaman hanya kerana berlandaskan akal fikiran semata-mata.
“Sebagai contoh, ada yang menyatakan Bani Tamim itu adalah Tanah Melayu dengan mengambil awalan huruf ‘Ta’ (ت) dan ‘Mim’ (م), ini adalah pandangan yang terpesong kerana berdasarkan akal semata.
“Ada juga yang mengaitkan dengan beberapa nas di samping penggunaan akal dengan mengatakan Bani Tamim itu adalah Putrajaya iaitu Bani (bermaksud) anak atau putra, (manakala) Tamim (bererti) jaya, asasnya ialah Putrajaya adalah tempat pentadbiran kerajaan.
“Ini ditambahkan lagi dengan pemanasan teori Armageddon atau Perang Besar yang akan mensasarkan Putrajaya yang menjadi tempat berhimpunnya Kerajaan Bani Tamim sementelahan petunjuk asal nama Putrajaya adalah ‘Perang Besar’.
“Teori ini juga sewajarnya tidak diuar-uarkan, menyimpannya adalah lebih baik sebagai saddu liz-Zari’ah iaitu menutup lubang kemudaratan. Maka, pentingnya Fiqh at-Tahawwulat ini supaya kita dapat melihat perkara-perkara berkaitan akhir zaman ini berlandaskan Al Quran dan Sunnah sepenuhnya,” katanya.
Seminar Mencerap Fenomena Zaman Fitnah dihadiri lebih daripada 60 peserta yang mana tujuannya ialah membincangkan perkara-perkara berkaitan peristiwa akhir zaman itu sendiri.- HARAKAHDAILY 17/8/2024
