suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bahagia mendirikan rumah tangga hanya sempat dikecapi Muhammad Harish Aiman Mat Zahid selama sebulan, sebelum dia menghembuskan nafas terakhir dalam kemalangan yang tular di Jalan Kuchai Lama, di sini.
Dalam insiden tragik pada 8 Disember itu, Muhammad Harish, 25, yang bekerja dalam sektor p-Hailing dirempuh kereta didakwa pandu melulu ketika melalui selekoh dari Sri Petaling menghala ke Jalan Kuchai Lama.
Pemuda itu yang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) meninggal dunia pada 7.11 pagi, 9 Disember akibat kecederaan parah dialami.
Menerusi media sosial, ahli keluarga berkongsi luahan yang memaklumkan Allahyarham baharu sahaja berkahwin dengan Rashidah Shahira Shamsuddin, 24, dengan majlis dilangsungkan pada 7 November lalu di Pahang.
“Untuk majlis pihak lelaki sepatutnya pada 13 Disember lalu, tetapi hajat arwah tidak tercapai. Kami sekeluarga hanya mampu merancang, tetapi Allah menentukan segalanya” tulis ahli keluarga arwah dalam satu hantaran di TikTok.
Difahamkan, semua hantaran perkahwinan dan persiapan majlis bertandang dihasilkan sendiri oleh arwah Muhammad Harish, termasuk penyediaan cederahati yang siap sepenuhnya sebelum kejadian.
“Hantaran semua hasil air tangan arwah sendiri. Tak sempat arwah nak merasa semua barang hantaran. Kad nikah pun baru siap, tapi arwah tak sempat nak tengok.
“Semoga kita semua doakan agar keadilan tercapai untuk arwah. Kami juga berharap pelaku tampil berani untuk memberikan keterangan dan bertanggungjawab atas perbuatannya,” menurut hantaran ahli keluarga.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis mengesahkan video tular mengenai kemalangan di Jalan Kuchai Lama di sini, berlaku pada 8 Disember lalu yang mengorbankan penunggang motosikal berusia 25 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan kejadian dan menerima maklumat penularan video kamera papan pemuka memaparkan insiden di platform TikTok.
© New Straits Times Press (M) Bhd






