am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang penunggang motosikal cedera selepas ditetak oleh seorang penunggang lain dalam kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 8.19 pagi berhubung kejadian itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa iaitu lelaki berusia 45 tahun menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur.
“Ketika melalui laluan berkenaan, mangsa membunyikan hon kepada seorang penunggang motosikal lain kerana dipercayai menghalang laluannya.
“Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan suspek, lelaki tempatan berusia 43 tahun, tidak berpuas hati sebelum berhenti di tepi jalan dan bertindak menetak mangsa menggunakan pisau pemotong daging,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, belakang leher, lengan serta tangan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.
Katanya, suspek berjaya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, rakaman memaparkan kejadian berkenaan dikongsi pengguna laman sosial Threads.
© New Straits Times Press (M) Bhd





