JOHOR BAHRU: Para penuntut Palestin amat menghargai dan terharu dengan kesungguhan ditunjukkan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menganjurkan program ‘Voices For Palestine’ dalam menyuarakan solidariti terhadap rakyat negara berkenaan.
Wakil Persatuan Pelajar Palestin Malaysia, Adnan Sami menghargai usaha diambil mahasiswa tersebut memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin yang ditindas tentera Zionis.
Menurutnya, rakyat Palestin amat memerlukan bantuan dan sokongan daripada masyarakat antarabangsa dalam bentuk doa, kesedaran serta pemboikotan produk yang menyokong rejim Zionis.
“Sekecil mana pun sumbangan kepada rakyat Palestin, ia amat bermakna buat kami, bukan sahaja sebagai pelajar, malah untuk keluarga dan saudara kami di tanah air. Jika kita tidak mampu mengakhiri ketidakadilan ini, sekurang-kurangnya kita perlu memberitahu seluruh dunia mengenainya.” katanya ketika ditemui di UTM, di sini hari ini.
Adnan yang merupakan penuntut Fakulti Sains Komputer di sebuah universiti di Kedah sanggup menempuh ratusan kilometer bersama-sama dua rakannya untuk menyertai program tersebut.
Program ‘Voices For Palestine’ disertai lebih 500 peserta membabitkan mahasiswa, pelajar sekolah, warga UTM serta masyarakat setempat.
Menurut Adnan, hanya dia yang berada di luar negara, manakala Ibu bapanya serta tujuh adik beradik yang lain berada di Gaza.
“Hubungan komunikasi dengan keluarga juga sering terputus selama berhari-hari atau berminggu dan saya hanya mampu berdoa agar mereka selamat. Sedih memikirkan insan tersayang menderita dan kita pula tidak mampu berbuat apa-apa.
“Saya mohon jangan berhenti berdoa untuk Palestin. Boikot produk yang menyokong penjajahan Israel dan sebarkan kesedaran, inilah sekurang-kurangnya yang kita boleh lakukan bersama,” katanya yang berterima kasih dengan keprihatinan Malaysia serta seluruh rakyatnya terhadap nasib rakyat Palestin.
Pengarah Program, Zainab Mat Lazim berkata, program anjuran bersama Pusat Islam UTM, Persatuan Pelajar Pascasiswazah dan Persatuan Pelajar Palestin Malaysia itu bertujuan memupuk empati dan meningkatkan kesedaran terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Kami mahu buktikan kami cakna dengan apa yang berlaku di Palestin, khususnya dalam kalangan pelajar yang tidak mendapat pendidikan yang sempurna setelah sekolah mereka dibom Zionis. Kita harap langkah UTM ini dapat disambut oleh universiti yang lain dalam menyuarakan hak asasi rakyat Palestin yang ditindas rejim Zonis,” katanya sambil memberitahu pihaknya turut melancarkan Tabung Palestin di bawah Endowment UTM dengan sasaran kutipan sebanyak RM50,000 sehingga 7 Oktober depan. – UTUSAN