am@hmetro.com.my
Jitra: Pelajar lelaki sebuah universiti di utara di sini yang ditahan polis kerana terbabit dalam penipuan membabitkan orang awam dan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) direman dua hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Lelaki berusia 23 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra pada jam 8.28 pagi dengan memakai pakaian lokap oren diiringi anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Huda Idris dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan penahanan suspek pada jam 4 petang semalam susulan laporan polis yang diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO) Cancer Survivors Malaysia (CSM) pada Selasa lalu.
Suspek ditahan di IPD Kubang Pasu ketika dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, CSM membuat laporan polis semalam selepas mendakwa ditipu seorang pelajar lelaki sebuah universiti di utara negeri ini kononnya dia memerlukan wang untuk membayar yuran pengajian.
© New Straits Times Press (M) Bhd