Penuntut UMPSA pijak al-Quran dibuang universiti

Penuntut UMPSA pijak al-Quran dibuang universiti


KUANTAN: Penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memijak al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial baru-baru ini dikenakan tindakan buang universiti.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, proses tatatertib yang dijalankan terhadap insiden penuntut tersebut yang menyentuh berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sudah selesai baru-baru ini.

Menurutnya, pihak Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UMPSA bersidang pada 9 Mac lalu.

“Berdasarkan tindakan tatatertib pelajar didapati bersalah dan dikenakan hukuman dibuang daripada Universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-kaedah Universiti Dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib pelajar) 2024,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yatimah mengharapkan keputusan itu menjadi pengajaran kepada warga UMPSA sama ada pelajar mahupun staf agar lebih berhati-hati dalam semua perbuatan atau tindakan agar tidak mencemar nama baik universiti.

Ujarnya, UMPSA bertegas tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan 3R sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam di negara ini.

Pada 3 Mac lalu, S. Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan telah mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut Islam, iaitu al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu pada 22 Februari lalu.

Lelaki itu juga didakwa telah menggunakan akaun laman portal Threads “ryandaselva” secara sedar telah membuat dan melakukan penghantaran suatu komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mahkamah membenarkan penuntut itu diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan mengarahkannya melapor diri di balai polis setiap bulan, serta menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top