Peter Zulj berjaya membolosi gawang Selangor FC pada minit akhir perlawanan untuk Buriram mengikat pelawat 1-1. Foto BURIRAM UNITED, gambar kecil: Razman
PENYAKIT lama sekali lagi berulang buat Selangor FC apabila terpaksa menelan kepahitan setelah kemenangan diragut pada detik akhir oleh pasukan lawan.
Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi hampir berjaya membawa pulang tiga mata, namun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri apabila diikat jaguh Thailand, Buriram United 1-1 dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN di laman lawan pada Rabu.
Bekas pemain negara, Razman Roslan melihat situasi tersebut sebagai satu kerugian buat skuad Gergasi Merah, lebih-lebih lagi kerana beraksi di tempat lawan.
“Kita tidak kata Selangor tidak bermain baik, tetapi kita perlu ingat musim lalu dalam ACL2 (Liga Juara-Juara Asia 2) inilah keadaannya yang berlaku.
“Apabila boleh menang, mereka dibolosi pada minit akhir dan keputusan berubah.
“Ia sesuatu yang merugikan dan mereka terkeluar daripada saingan kumpulan (gagal mara ke pusingan seterusnya) disebabkan situasi ini. Apabila aksi pertama boleh menang, tetapi cuma dapat seri,” katanya.
Dalam aksi di Chang Arena itu, Selangor FC terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Chrigor Moraes sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan hasil tandukan Peter Zulj pada minit ke-96.
Mengimbas saingan ACL musim lalu, Selangor FC berada di depan dengan kelebihan jaringan 2-1, namun kelab dari Australia, Melbourne Victory mengikat kedudukan menerusi Ben Folami pada minit ke-77.
Begitu juga ketika menentang Beijing Guoan dari China apabila skuad Gergasi Merah berpeluang mencuri satu mata, tetapi terpaksa akur tewas 1-2 selepas pasukan lawan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80 menerusi Zhang Yuning.
Justeru, Razman yang juga bekas pemain kebangsaan dan Selangor FC berharap perkara sama tidak berulang lagi serta menambah baik aspek tersebut.
“Jadi, ia sesuatu yang perlu diperbaiki dan diubah oleh Selangor,” katanya.