Penyanyi dikir barat, suami, antara 6 didakwa miliki, ambil dadah

Penyanyi dikir barat, suami, antara 6 didakwa miliki, ambil dadah



am@hmetro.com.my

Narathiwat: Penyanyi dikir barat Malaysia dan lima yang lain didakwa di mahkamah di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di Pekan Sungai Golok pada 1 November lalu.

Penyanyi, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta empat yang lain, Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33, dan , Zuhaira Nasrin, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil yaba.

Namun mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah (memasuki dadah dalam badan) selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Yuan Khao Kham

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memiliki pil yaba di sebuah hotel di bandar Sungai Golok jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu.

Manakala, Zuhaira dan Erdeka turut didakwa kerana memasuki Thailand tanpa dokumen yang sah dan juga tinggal lebih masa.

Keenam-enam tertuduh itu diwakili tiga peguam termasuk seorang peguam yang ditawarkan oleh kerajaan Thailand.

Bercakap melalui jurubahasa, hakim memerintahkan kesemua tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pemilikan dadah itu, mencari bukti dan saksi bagi membuktikan dakwaan mereka.

“Kes ini membabitkan kepentingan awam di Malaysia dan Thailand. Oleh itu, saya ingin memastikan kes ini diselesaikan secepat mungkin.

“Jika kebiasaannya, mahkamah akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyelesaikan kes seperti ini tetapi saya berjanji kepada anda semua bahawa saya akan membuat keputusan pada awal Mac,” katanya.

Beliau turut bertanyakan sama ada enam tertuduh berkenaan mahu mengulas mengenai kes berkenaan, bagaimanapun kesemua mereka termasuk Wan Norshaheeda Azlin hanya menundukkan kepala.

Hakim kemudian menetapkan 11,13 dan 14 Februari depan untuk keenam-enam tertuduh mencari saksi dan memberikan keterangan kepada mahkamah.

Sementara itu, hampir 50 ahli keluarga berkumpul di luar mahkamah untuk mengikuti perbicaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top