Kuala Lumpur: Penyanyi rap, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen mendakwa seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) merakamnya secara rahsia ketika sedang menerima khidmat urutan di SS14, Subang Jaya.
Memetik laporan BH, penyanyi rap dikenali sebagai Zamaera itu berkongsi perkara yang berlaku di platform X, mendakwa pegawai terbabit memasuki premis serta merakam video dirinya yang hanya ditutupi dengan tuala.
Zamaera berkata, ketika itu dia berada di bilik nombor tujuh pusat urutan terbabit, sebelum beberapa lelaki tampil yang mendakwa mereka sebagai pegawai penguat kuasa.
Katanya, pegawai terbabit didengari membuat bising, namun dia cuba mengabaikan keadaan berkenaan kerana mahu menikmati sesi urutan.
Namun, Zamaera mendakwa seorang pegawai masuk sambil merakam dirinya dalam keadaan terdedah.
“Ketika saya mempersoalkan tindakan merakam itu, pegawai terbabit memberi alasan rakaman berkenaan adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) PBT.
“Bahagian mana dalam menceroboh privasi pelanggan dengan merakam mereka dalam keadaan tidak berpakaian boleh dianggap beretika?,” soalnya.
Zamaera berkata, pegawai itu kemudian menafikan insiden serta memaklumkan tiada rakaman video wujud walaupun dirinya sendiri melihat pegawai itu merakamnya.
“Jika anda memasuki pusat urut anda perlu membuat pengumuman. Sebaliknya, anda menyelinap masuk dan melanggar privasi seseorang,” katanya.
Penyanyi rap itu turut menggesa pihak berkuasa bertanggungjawab di atas salah laku yang didakwa itu.
Difahamkan, Zamaera sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd