PETALING JAYA: Penyelarasan sistem kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan dapat mengurangkan pertindihan tawaran serta mengelakkan pembaziran tempat yang diperuntukkan kepada pelajar.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sistem sedia ada sering kali menyaksikan pelajar yang menerima tawaran ke MRSM kemudian beralih ke SBP dalam pengambilan seterusnya, menyebabkan tempat yang ditinggalkan kosong dan tidak dapat diisi semula.
“Keadaan ini amat merugikan kerana ramai lagi pelajar dalam senarai menunggu yang sanggup menerima tawaran, namun tidak berpeluang berbuat demikian disebabkan sistem sedia ada yang tidak membenarkan pengisian semula kekosongan selepas tarikh akhir ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan sokongan penuhnya terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai keperluan penyelarasan sistem kemasukan MRSM dan SBP agar lebih tersusun dan cekap.
“Cadangan ini merupakan langkah bijak dan berpandangan jauh dalam memastikan sistem pendidikan berasrama sedia ada berfungsi secara lebih efisien serta memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar khususnya mereka yang benar-benar berminat dan berpotensi dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan itu membolehkan MRSM dan SBP merancang pengambilan pelajar dengan lebih tepat, sejajar dengan sasaran negara untuk mencapai 70 peratus penyertaan pelajar dalam bidang STEM sebagaimana digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, inisiatif kerajaan itu adalah usaha signifikan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara demi masa depan anak-anak serta kesejahteraan generasi akan datang.
“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri atas keprihatinan dan inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN