Penyeludup ada 'cara' lepasi sempadan

Penyeludup ada 'cara' lepasi sempadan



am@hmetro.com.my

Betong: “Aktiviti rutin penyeludupan ‘geng naman prung’ (penyeludup minyak masak subsidi) bukan lagi pelik di sini. Perkara ini sudah berlarutan sejak lebih sedekad lalu,” ujar peniaga warga Malaysia yang mahu dikenali sebagai Rosli, 50.

Dia yang memiliki kedai fabrik di pekan Betong, Thailand, mendakwa penyeludupan paket minyak masak subsidi satu kilogram (kg) Malaysia sukar dikekang dan mudah bolos ke negara jiran itu.

“Berbanding barangan subsidi lain seperti gula, tepung gandum, diesel dan petrol…minyak masak subsidi Malaysia adalah barangan pengguna paling laris dijual.

“Hampir semua kedai runcit termasuk kedai di luar pekan ini menjual paket minyak masak subsidi Malaysia. Memang mudah didapati di sini…berlambak-lambak dan ada pelbagai jenama minyak masak paket dari Malaysia.

“Saya pernah berborak dengan beberapa ‘kaki’ penyeludup Thailand ini. Mereka ada ‘cara’ bagi melepasi kawalan sempadan. Ada yang menyorokkannya bersama barangan eksport lain atau menggunakan laluan tikus.

“Pergerakan mereka bukan hanya di sini (Betong), malah mereka mempunyai rangkaian ‘tentera semut’ di Narathiwat, Sungai Golok, Weng, Danok, Padang Besar dan Sungai Padi,” katanya.

“Berbanding harga 55 Baht (RM7) sekitar dua tahun lalu, paket minyak masak subsidi 1 kg kini dijual sekitar 37 Baht (RM4.70) ketika ini. Penurunan harga ini mungkin ada kaitan dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang Baht,” katanya ketika ditemui wartawan.

Rosli berkata, berdasarkan pemerhatiannya, bekalan minyak masak subsidi Malaysia sentiasa berada di pasaran negara jiran itu.

Menurutnya lagi, harga minyak masak dari Malaysia lebih murah jika dibandingkan dengan minyak masak botol Thailand yang berharga serendah Bath 43 Baht (RM5.40) bagi 1 liter (1 kilogram).

“Orang Thailand suka beli minyak masak Malaysia kerana lebih murah dan menjimatkan. Tiada had pembelian dan mereka boleh beli sebanyak mana sekalipun di kedai,” katanya.

Seorang lagi peniaga restoran warga Thailand, Fatima Abdulrohman, 43, berkata, beberapa individu warga Thailand membekalkan beberapa kotak minyak masak Malaysia setiap kali dia kehabisan stok.

Menurutnya, bekalan akan dihantar menaiki van atau pacuan empat roda.

“Setiap satu paket minyak masak Malaysia dijual kepada saya pada harga 35 Baht (RM4.30) iaitu lebih murah berbanding dijual di kedai runcit berikutan saya mengambilnya secara pukal.

“Saya memerlukan bekalan minyak masak paket yang banyak berikutan ia digunakan setiap hari untuk memasak hidangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top