Penyeluk saku di KLIA, tiga warga China akan didakwa di mahkamah

Penyeluk saku di KLIA, tiga warga China akan didakwa di mahkamah


KUALA LUMPUR – Padah menjadi penyeluk saku di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) , tiga lelaki warga China akan didakwa hari ini di Mahkamah Majistret Sepang.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, kesemua suspek berusia 51 hingga 57 tahun telah ditahan pada 25 Oktober lalu sekitar  7 malam.

Katanya, tangkapan dibuat di ruang legar ketibaan antarabangsa, Aras 3, KLIA Terminal 1 oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat KLIA bersama polis bantuan. 

“Terdahulu, satu laporan berhubung kejadian itu diterima dari seorang lelaki warga Jepun pada 22 Oktober lalu sekitar 2.40 petang.

“Berdasarkan laporan, pukul 11 malam pada 21 Oktober lalu, ketika pengadu ingin membuat pembayaran di sebuah restoran di Petaling Jaya, dia menyedari dompetnya tiada di dalam beg galasnya. 

“Pengadu mengesyaki beg galasnya telah diseluk dan dompet dicuri semasa berada di KLIA Terminal 1 kerana zip beg terbuka malah terdapat tiga transaksi telah dibuat di lokasi yang tidak pasti,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Susulan itu pengadu bertindak menyekat  kesemua kad bank tersebut dan mengalami kerugian berjumlah RM7,622.

Azman juga berkata, permohonan reman awal ke atas semua suspek telah diperoleh pada 26 hingga semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top