Penyerang legenda Kedah dan Perlis, Hussin Jaafar meninggal dunia

Penyerang legenda Kedah dan Perlis, Hussin Jaafar meninggal dunia


Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada malam Jumaat semasa mendapat rawatan di sana.

DUNIA bola sepak tanah air kehilangan seorang lagi permata berharga apabila penyerang legenda Kedah dan Perlis, Hussin Jaafar, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada malam Jumaat.

Allahyarham berusia lingkungan 60-an dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru ketika berada di Johor bersama pasukan bola sepak Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah merangkap Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Radhi Mat Din berkongsi berita dukacita tersebut menerusi hantaran di laman sosial miliknya.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Mendapat perkhabaran menyedihkan pemergian legenda Kedah dan Perlis, Hussin Jaafar, jam 8.14 malam tadi,” tulisnya ringkas.

Menurut warisnya, jenazah allahyarham akan dikebumikan di Masjid Tunku Puteri Intan Safinaz, Anak Bukit, Alor Setar pada Sabtu.

Sepanjang kariernya, Hussin dikenang sebagai antara penyerang yang digeruni era 1980-an dan awal 1990-an, yang pernah menyarung jersi kedua-dua pasukan utara tanah air itu.

Bersama Kedah, beliau memainkan peranan penting membawa skuad Hijau Kuning mara ke final Piala Malaysia selama empat tahun berturut-turut bermula 1987, sebelum mencipta sejarah menjulang trofi berprestij itu pada tahun 1990 selepas menewaskan Singapura 3-1.

Sumbangan beliau turut diingati ketika beraksi bersama Perlis, di mana ketajaman penyudah dan ketenangan di hadapan gawang menjadikan beliau antara pemain yang sering memberikan masalah kepada pasukan lawan.

Pemergian allahyarham turut diumumkan secara rasmi di Stadium Darul Aman sebelum perlawanan Piala CT Global Legend Cup 2025 yang menemukan legenda bola sepak Kedah era Double Treble menentang barisan legenda negara (Ex-Malaysia) pada malam Jumaat.

Ringkasan AI

  • Hussin Jaafar, penyerang legenda Kedah dan Perlis, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
  • Digelar sebagai penyerang digeruni pada era 1980-an dan awal 1990-an dengan sejarah membela kedua-dua pasukan utara Malaysia
  • Dikenali atas sumbangannya membawa Kedah meraih trofi Piala Malaysia pada tahun 1990 dengan kemenangan 3-1 atas Singapura
  • Sumbangannya di perlukan juga dalam pasukan Perlis, terkenal dengan ketepatan dan ketenangan di depan gawang
  • Pengumuman pemergiannya dibuat secara rasmi di Stadium Darul Aman sebelum perlawanan Piala CT Global Legend Cup 2025



Source link

OR

Scroll to Top