Penyertaan KWSP dalam Karnival Jom Heboh tingkat pendaftaran i-Saraan

Penyertaan KWSP dalam Karnival Jom Heboh tingkat pendaftaran i-Saraan


Penyertaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Karnival Jom Heboh (KJH) pada tahun ini berjaya membantu meningkatkan jumlah penyertaan rakyat dari pelbagai latar belakang dalam skim i-Saraan.

i-Saraan adalah satu inisiatif mencarum di bawah caruman sukarela yang diperkenalkan oleh KWSP yang memberi peluang kepada ahli yang bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap serta pekerja sektor ekonomi gig menerima insentif khas daripada kerajaan bagi tujuan persaraan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Pengarah KWSP Wilayah Sabah, Mohd Fadil Sarehan, berkata sektor tidak formal terdiri daripada individu bekerja sendiri dalam kategori ekonomi gig, peladang, petani dan nelayan.

“Jika kita lihat daripada statistik di negeri ini, masih terdapat 1.2 juta dalam keseluruhan tenaga kerja belum menjadi pencarum KWSP dan kebanyakannya daripada golongan pekerja tidak formal.

“Inilah peranan besar sebenar KWSP bagi di Sabah agar jumlah ini masuk ke dalam sistem perlindungan sosial dengan mula mencarum bersama KWSP dan membina tabungan untuk tujuan persaraan masing-masing.

“Oleh itu, pembabitan KWSP dalam KJH Sabah ini adalah platform terbaik yang boleh kita gunakan untuk menyalurkan maklumat dan menarik orang awam bergelar pencarum,” katanya di tapak KJH Sabah 2024 di Kompleks Sukan Likas di sini, baru-baru ini.

Mohd Fadil berkata, dalam usaha untuk memastikan lebih ramai individu yang bekerja dalam sektor tidak formal atau ekonomi gig menjadi pencarum, KWSP telah mengambil langkah proaktif dengan menyertai KJH.

Melalui penyertaan ini katanya, KWSP berupaya mendekati golongan terbabit secara langsung, boleh memberikan penerangan terperinci mengenai manfaat mencarum dan menawarkan khidmat nasihat bagi memudahkan mereka memahami kepentingan simpanan jangka panjang.

Sepanjang KJH berlangsung di empat negeri, iaitu Melaka, Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah, ahli KWSP berpeluang menyemak penyata akaun masing-masing dan mendapatkan khidmat nasihat persaraan dan kewangan peribadi dengan pegawai Relationship Advisory (RA) KWSP secara percuma.

Ternyata penyertaan KWSP di KJH telah membuahkan hasil apabila terdapat peningkatan dari segi kesedaran dan jumlah ahli untuk mengemas kini dan membuat penamaan membabitkan akaun KWSP mereka.

Selain itu, ia juga meningkatkan kesedaran dan jumlah ahli yang membuat penambahan simpanan mereka melalui caruman sukarela.

Penyertaan KWSP dalam KJH adalah antara aktiviti ‘turun padang’ dan outreach KWSP yang membolehkan pegawai KWSP untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat sama ada mereka ahli atau bukan ahli KWSP.

Malahan, liputan meluas yang diberikan melalui siaran langsung, di Buletin Utama TV3 dan artikel di akhbar BH dan Harian Metro membantu memperluaskan lagi mesej dan saranan KWSP kepada seluruh rakyat Malaysia.

Belia seawal 14 tahun boleh daftar pencarum KWSP

Jika ada yang masih belum tahu, KWSP membenarkan dan menggalakkan belia seawal berumur 14 tahun untuk mendaftar sebagai pencarum.

Langkah terbabit dilihat sebagai persediaan kepada belia menyediakan simpanan pada usia persaraan.

Mohd Fadil berkata, pendekatan sama juga adalah sebagai latihan buat orang muda, khususnya remaja meningkatkan budaya menabung.

“Ini adalah permulaan untuk mereka mendalami dan mengetahui kesedaran berkaitan kewangan.

“Bagaimanapun, usaha ini memerlukan bantuan ibu bapa agar memulakan langkah pertama dengan mendaftarkan anak masing-masing yang sudah memasuki usia 14 tahun di bawah KWSP selaku pencarum.

“Walaupun setiap caruman yang dibuat tidak banyak, tetapi jumlah terbabit pastinya akan terus bertambah jika dilakukan secara konsisten,” katanya ketika ditemui di reruai KWSP sempena KJH Sabah 2024 yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, baru-baru ini.

Masih ramai rakyat Melaka bekerja sendiri belum mencarum dengan KWSP

Berdasarkan perangkaan oleh KWSP di Melaka mendapati masih terdapat ramai rakyat Melaka bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap yang masih belum mencarum dengan tabung simpanan persaraan itu.

Pengarah KWSP Wilayah Selatan, Dr Mohd Taib Ismail, berkata keadaan itu dikhuatiri mendedahkan golongan berkenaan terjebak dalam kemiskinan pada usia emas kerana tiada simpanan yang mencukupi untuk masa depan.

“Fokus utama KWSP adalah memastikan mereka yang berada dalam sektor tidak formal, seperti pekerja gig dan mereka yang tidak ada pendapatan tetap.

“Ini kerana segmen ini cabarannya adalah ia terdedah kepada risiko kemiskinan pada usia tua kerana mereka tidak mempunyai perlindungan dengan skim pencen atau pun persaraan formal seperti ditawarkan oleh KWSP.

“Sebab itulah di KWSP Melaka gerak kerja kita melalui program outreach, kaunter bergerak yang pergi kepada komuniti untuk mengajak rakyat Melaka yang masih belum menyertai KWSP untuk menjadi ahli,” katanya.

Beliau ditemui media di reruai KWSP di tapak Karnival Jom Heboh 2024 di Dataran MITC, Ayer Keroh, baru-baru ini.

Menurut Mohd Taib, sekitar 700,000 daripada satu juta penduduk adalah mereka berusia 15 hingga 64 tahun yang merupakan kumpulan sasaran.

Katanya, daripada jumlah itu, sekitar 300,000 adalah ahli KWSP yang aktif mencarum pada setiap bulan.

“Ini bermakna masih ramai di luar sana belum menjadi ahli KWSP, yang patut kita pergi kepada mereka dan dekati untuk mereka daftar sebagai ahli KWSP dan memulakan langkah pertama bina tabung persaraan masing-masing,” katanya.

Pada KJH yang berlangsung di Melaka pada Jun lalu, KWSP telah menempatkan beberapa pegawainya di reruai berkenaan yang bersedia untuk memberi khidmat nasihat kepada pelanggan dan golongan sasaran untuk merancang simpanan hari tua mereka.

Mohd Taib berkata, pihaknya turut menempatkan pegawai khidmat nasihat pelanggan yang mengajar kaedah merancang persaraan kepada pelanggan secara percuma supaya mempunyai simpanan mencukupi pada usia emas.

“Dalam usaha memastikan rakyat celik kewangan, KWSP juga menyasarkan kepada kumpulan anak muda, termasuk pelajar universiti dan sekolah sebab kita percaya perancangan persaraan yang baik bermula dari usia awal.

“Jadi, apa kita lakukan adalah memberi kesedaran kewangan dari aspek aliran tunai, belanjawan, mengurus hutang dan perbelanjaan melalui modul berkaitan yang kita ada.

“Selain itu, kita juga tidak meninggalkan kumpulan petani, nelayan dan pekebun kecil,” katanya lagi.

KWSP mahu pastikan rakyat di wilayah utara cukup simpanan asas 

Pengarah KWSP Wilayah Utara, Jeffary Mohamed Isa, berkata antara fokus mereka adalah memastikan masyarakat, khususnya di wilayah utara cukup kewangan dengan simpanan asas yang disasarkan sekurang-kurangnya sebanyak RM240,000 apabila mencecah usia 55 tahun.

“Di sini, pengunjung boleh lakukan pelbagai semakan dengan dibantu kakitangan dan kerana itu kita ibarat ‘bawa pejabat’ ke KJH termasuk menyediakan trak mudah alih.

“Kita juga mahu masyarakat datang ke sini bagi mendaftar sebagai ahli dan mencarum. Usia kita semakin meningkat, jadi ia perlu dilakukan segera demi masa depan,” katanya ketika ditemui di Karnival Jom Heboh di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurut Jeffary, di Pulau Pinang terdapat seramai 746,000 ahli berdaftar yang berusia 55 tahun ke bawah yang mana hanya sekitar 27 peratus atau 119,000 daripadanya mencapai simpanan asas.

Sebanyak 73 peratus atau kira-kira 547,000 ahli berdaftar tidak mencapai simpanan asas ketika persaraan.

Beliau berkata, dianggarkan sehingga 360,000 penduduk di Pulau Pinang dalam umur populasi bekerja antara 15 hingga 64 tahun, masih belum berdaftar dengan KWSP dan kebanyakannya daripada golongan tidak formal.

“Susulan itu, aktiviti dan penganjuran program giat dijalankan bersama pelbagai pihak termasuk institusi pengajian.

“Ia supaya apabila mereka tamat belajar dan berada dalam pasaran kerja, golongan itu sudah mempunyai informasi mengenai KWSP, selain mahu mereka celik dalam ilmu kewangan khususnya ketika persaraan kelak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top