Penyertaan MARDI dalam TISC kukuh pengurusan harta intelek

Penyertaan MARDI dalam TISC kukuh pengurusan harta intelek


SERDANG – Dalam usaha memperkukuh pengurusan harta intelek, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui MyIPO mempelawa kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menyertai Program Technology Innovation Support Centre (TISC). 

Menurut Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, penyertaan MARDI dijangka dapat membawa manfaat besar terutama dalam akses kepada sumber paten dan bukan paten yang melibatkan penerbitan saintifik dan teknikal. 

Ini bukan sahaja akan membantu MARDI memperkaya proses penyelidikan dan pengkomersialan inovasi mereka di peringkat global tetapi memastikan ciptaan mereka dilindungi.

“Kerjasama ini juga dapat membuka peluang menyediakan latihan khusus dalam carian pangkalan data teknologi dan harta intelek, yang penting dalam memastikan perlindungan produk serta inovasi mereka.

“Selain itu, mereka juga akan mendapat bantuan dalam membuat carian teknologi atas permintaan, termasuk dalam aspek pelanggaran hak cipta dan inovasi baharu yang berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Program AgroInvest MARDI 2024, di MAEPS Serdang, hari ini.

“Penyertaan MARDI di dalam TISC juga dapat memantau perkembangan teknologi dan para pesaing dalam sektor berkaitan selain membantu mereka relevan dan berinovasi dalam menangani cabaran dalam industri asas tani.

“Dengan adanya akses kepada maklumat, pihak MARDI akan dapat memberi tindak balas pantas terhadap perubahan teknologi dan trend pasaran, sekaligus memperkukuh kedudukan mereka sebagai peneraju dalam penyelidikan dan inovasi pertanian.

“Dengan penyertaan dalam TISC, MARDI akan menjadi institusi penyelaras ke-26 di Malaysia yang terlibat dalam program ini, setaraf dengan institusi-institusi penyelidikan utama yang lain,” tambahnya.

Pelawaan ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen KPDN untuk terus memperkukuh kerjasama dengan MARDI, khususnya dalam aspek pengurusan dan perlindungan harta intelek. 

Dengan akses kepada sumber maklumat yang lebih meluas serta bantuan teknikal, MARDI dapat memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan keupayaan inovasi dan sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan industri pertanian negara. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top