Washington: Masalah komunikasi dan kegagalan instrumen mungkin menyebabkan pesawat penumpang dan helikopter tentera berlanggar dalam bencana udara Amerika Syarikat (AS) paling buruk dalam dua dekad, kata penyiasat keselamatan penerbangan pada Jumaat.
Pesawat itu hendak mendarat di Lapangan Terbang Negara Reagan, hanya beberapa kilometer dari Rumah Putih apabila ia bertembung dengan Sikorsky UH-60 Black Hawk yang dalam misi latihan, mengorbankan 67 orang.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) pada sidang akhbar berkata, pihaknya berupaya menetapkan garis masa kejadian yang membawa kepada nahas 29 Januari itu, walaupun siasatan penuh boleh mengambil masa sehingga setahun.
Pengerusi NTSB, Jennifer Homendy berkata, kawalan trafik udara sudah memberi amaran kepada juruterbang Black Hawk beberapa minit sebelum insiden, bahawa kapal terbang American Eagle sedang berlegar (circling).
Tetapi data yang diambil daripada serpihan helikopter itu menunjukkan bahawa mesej itu tersekat-sekat dan perkataan ‘berlegar’ dikaburkan.
Perakam suara kokpit (CVR) Black Hawk nampaknya tidak mengambil arahan penting untuk melencong keluar dari laluan Bombardier CRJ-700 beberapa saat sebelum perlanggaran.
“Pada 8:47:42 atau 17 saat sebelum hentaman, satu transmisi radio dari menara kedengaran pada kedua-dua CVR yang mengarahkan Black Hawk untuk melintas di belakang CRJ.
“Data CVR dari Black Hawk menunjukkan bahawa bahagian transmisi yang menyatakan ‘melintas di belakang’ mungkin tidak diterima oleh krew Black Hawk,” kata Homendy kepada pemberita.
Menurutnya, arahan itu nampaknya ditutup (mute) kekunci mikrofon di radio Black Hawk ketika ia berkomunikasi dengan menara.
Presiden Donald Trump telah berulang kali mengaitkan punca kemalangan itu dengan dasar kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman, yang tiada satu pun disebut sebagai faktor.
Ketua cawangan bahagian perakam kenderaan NTSB, Homendy dan Sean Payne berkata, penyiasat akan meneliti percanggahan antara ketinggian sebenar Black Hawk dan apa yang dilihat oleh krunya.
Pesawat penumpang merekodkan ketinggiannya pada 313 kaki (95 meter) dua saat sebelum berlanggar.
“Sekarang kami yakin dengan ketinggian radio Black Hawk pada masa perlanggaran. Itu adalah 278 kaki (84.91 meter).
“Tetapi saya ingin menekankan bahawa ia tidak bermakna itu yang dilihat oleh kru Black Hawk pada altimeter barometrik di kokpit. Kami melihat maklumat yang bercanggah dalam data,” katanya.
Pakar penerbangan memberi tumpuan khusus terhadap sama ada kru helikopter boleh melihat melalui cermin mata penglihatan malam tentera.
Homendy berkata, tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa kru telah menanggalkan cermin mata mereka, dan ujian sedang dijalankan untuk menentukan perkara yang dapat dilihat oleh kedua-dua kru semasa perlanggaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd