London: Penyokong Manchester United mula melahirkan kebimbangan terhadap prestasi pasukan selepas rakaman video kesilapan penjaga gol baharu, Senne Lammens tular di media sosial.
Penjaga gol muda dari Belgium itu menyertai United dari Royal Antwerp pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas dengan nilai perpindahan dianggarkan 18.5 juta pound (RM104.84 juta) selain tambahan 3.5 juta pound (RM19.83 juta) dalam bentuk klausa.
Lammens, 23, yang belum pernah beraksi bersama skuad senior Belgium, menandatangani kontrak selama lima tahun di Old Trafford.
Namun, hanya beberapa hari selepas ketibaannya, segelintir penyokong Red Devils sudah melahirkan rasa kecewa apabila satu video kompilasi kesilapan Lammens sewaktu beraksi bersama Antwerp menjadi tular di platform X.
Antara klip yang mencetuskan kebimbangan ialah apabila Lammens dilihat keluar dari posisi semasa satu hantaran silang, membiarkan gawangnya terdedah kepada jaringan mudah.
Satu lagi klip menunjukkan Lammens gagal merebahkan badan bagi menepis rembatan rendah yang tidak begitu deras.
Reaksi penyokong United di media sosial ternyata penuh rasa panik dan kecewa.
“Andre Onana 2.0,” tulis seorang pengguna, merujuk kepada penjaga gol sedia ada United yang juga sering dikritik.
“Versi terkini Onana,” kata seorang lagi.
Reaksi seterusnya dengan dipercayai merujuk kepada penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke United sebelum ini menulis: “Bagaimana mereka boleh pilih pemain ini berbanding pemenang Piala Dunia?.”
© New Straits Times Press (M) Bhd