Penyokong harap Nasken Coffee selesaikan isu FIFA, kembalikan kegemilangan KRW FC

Penyokong harap Nasken Coffee selesaikan isu FIFA, kembalikan kegemilangan KRW FC


PENYOKONG dan peminat bola sepak Kelantan mahu pemilik baharu Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) Nasken Coffee PM melakukan perubahan dengan menyelesaikan kemelut sekatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang sedang membelenggu pasukan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata penyokong tidak mahu pemilik baharu sekadar bercakap kosong, sebaliknya terus bekerja untuk membawa KRW FC ke arah lebih baik.

Penyokong setia, Nashran Arjuna, 29, menyifatkan pengambilalihan itu sebagai satu era baharu buat bola sepak Kelantan yang diharap mampu mengembalikan kegemilangan pasukan di pentas Liga Malaysia.

“Ini bukan saja beri nafas baharu kepada KRW FC, tetapi juga dapat mempromosikan jenama tempatan seperti Nasken Coffee ke mata dunia. Saya harap pengurusan baharu ini akan mengubah serta meningkatkan prestasi pasukan secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Nik Amir Khairi Kamarubalkiah, 28, pula berpandangan tumpuan utama Nasken Coffee perlu diberi kepada penyelesaian isu hutang dan menyelesaikan sekatan pendaftaran pemain baharu susulan tindakan FIFA sebelum ini.

“Tidak perlu perubahan drastik, cukup kalau ada peningkatan berkala. Paling penting, kebajikan pemain dijaga, masalah dalaman diminimumkan dan pasukan bermain dengan gaya menghiburkan. Itu pun sudah memadai buat penyokong,” ujarnya.

Bagi Tuan Syahiran Tuan Azmi, 25, beliau percaya dengan komitmen dan perancangan yang betul, Nasken Coffee mampu membawa KRW FC ke tahap lebih tinggi meskipun bermula dari bawah.

Ujarnya, paling penting sekarang adalah membina asas kukuh, rekrut pemain yang betul dan menstabilkan semula imej pasukan.

“Kami sebagai penyokong tetap akan berdiri di belakang pasukan,” katanya.

Seorang lagi penyokong, Zahir Abdul Rahman, 35, meletakan harapan agar pengurusan baharu ini tidak hanya fokus kepada aspek komersial, tetapi benar-benar menjadikan bola sepak Kelantan sebagai satu legasi yang dibanggakan.

Menurut dia, KRW FC adalah lambang semangat orang Kelantan, penyokong mahu lihat pasukan bangkit semula, bukan hanya gah pada nama, tetapi kuat di atas padang.

Sebelum ini, KRW FC berdepan krisis besar termasuk tindakan potong mata, sekatan perpindahan serta kegagalan membayar tunggakan gaji pemain import.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, jenama popular tempatan, Nasken Coffee, membuat kejutan dengan mengambil alih Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warrior (KRW FC) sekali gus menyelamatkan pasukan tersebut daripada terkubur selepas bergelut dengan sekatan daripada FIFA.

Melalui pengambilalihan itu, Nasken Coffee menamakan Wan Mohd Fajarulekram Wan Mokhtar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KRW FC.

Menurut Wan Mohd Fajarulekram, pihaknya akan meneruskan segala perancangan yang telah dibuat oleh kepimpinan terdahulu semasa diterajui oleh Nik Hafiz Naim Nik Hassan.



Source link

OR

Scroll to Top