Penyokong harap Perak FC kembali beraksi dalam liga

Penyokong harap Perak FC kembali beraksi dalam liga


Penyokong kecewa Perak FC tidak sertai Liga Malaysia musim depan selepas umum hentikan operasi akibat krisis kewangan.

KETIADAAN Perak FC dalam kancah Liga Malaysia musim depan amat mengecewakan peminat pasukan itu.

Bendahari Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (Perak FC TBG Mobs), Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata, keputusan itu memberi tamparan hebat kepada penyokong setia.

Menurutnya, situasi itu disifatkan janggal kerana Perak merupakan antara pasukan tradisi dalam sejarah bola sepak tanah air.

“Bayangkan, Perak antara pasukan paling lama dalam bola sepak Malaysia. Kalau ikut sejarah, sejak zaman Piala HMS Malaya lagi Perak tak pernah ketinggalan untuk beraksi.

“Dalam tempoh 100 tahun pun cuma sekali saja Perak pernah turun liga. Tapi tiba-tiba, tahun depan hilang terus dari liga. Memang sangat mengecewakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Muhammad Hamzah berkata, ketiadaan pasukan Perak FC dalam kancah liga utama tidak akan mematahkan semangat penyokong setia yang akan terus berdiri di belakang pasukan.

Menurutnya, perancangan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk mendaftarkan pasukan dalam Liga Bola Sepak Amatur (AFL) adalah sesuatu yang positif.

“Sokongan akan tetap diteruskan, tak kira apa perlawanan sekalipun. Piala Presiden, Sukma (Sukan Malaysia), Piala Emas Raja-Raja dan kini dalam Liga A1 anjuran AFL, kami tetap bersama.

“Kami harap Perak akan bangkit dan suatu hari nanti muncul semula dalam Liga Super,” katanya penuh harapan.

Beliau turut menggesa PAFA memainkan peranan lebih proaktif dalam memulihkan semangat penyokong, khususnya rakyat negeri Perak yang sentiasa dahagakan aksi bola sepak bertaraf tinggi dari pasukan kesayangan mereka.

Pada 25 Mei lalu, media melaporkan Perak FC dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa pasukan itu sudah kehabisan dana untuk meneruskan operasinya.

Pasukan itu kini bergantung kepada bantuan kewangan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi melunaskan hutang tertunggak kepada pemain, jurulatih dan staf selepas mengumumkan penghentian operasi serta-merta akibat masalah kewangan yang kritikal.

Pihak pengurusan Perak FC menjelaskan bahawa kelab tersebut telah kehabisan dana selepas melaburkan lebih RM40 juta dalam tempoh tiga tahun terakhir.



Source link

OR

Scroll to Top