PENYOKONG-penyokong gergasi liga Israel, Maccabi Tel Aviv tidak dibenarkan hadir menyaksikan aksi Liga Europa menentang Aston Villa di Villa Park pada 6 November ini atas faktor keselamatan.
Keputusan itu dibuat selepas Polis West Midlands menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan mereka mengawal sebarang kemungkinan insiden protes ketika pertembungan dengan kelab Israel tersebut.
Menurut kumpulan Keselamatan Penasihat, badan yang mengeluarkan sijil keselamatan perlawanan tiada penyokong pelawat akan dibenarkan masuk ke stadium pada hari perlawanan.
Dalam kenyataan rasmi, Aston Villa memaklumkan mereka sentiasa berhubung dengan Maccabi Tel Aviv dan pihak berkuasa tempatan berhubung isu berkenaan.
“Keselamatan penyokong yang hadir dan penduduk sekitar menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat,” jelas kelab itu.
Keputusan tersebut bagaimanapun mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer, yang menyifatkan langkah itu sebagai keputusan yang salah.
Polis West Midlands mengesahkan perlawanan itu diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi selepas penilaian menyeluruh dibuat berdasarkan maklumat risikan dan insiden terdahulu.
“Penilaian ini dibuat berdasarkan kejadian kekecohan dan kes jenayah kebencian yang berlaku ketika perlawanan Liga Europa antara Ajax dan Maccabi Tel Aviv di Amsterdam pada 2024.
“Berdasarkan pertimbangan profesional kami, langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko terhadap keselamatan awam,” kata jurucakap polis berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Droitwich dan Evesham, Nigel Huddleston turut mengecam keputusan itu dan meminta Setiausaha Kebudayaan, Lisa Nandy, menyiasat perkara tersebut.
“Sukan mempunyai kuasa besar menyatukan masyarakat. Keputusan ini seolah-olah tunduk kepada kebencian dan perpecahan.
“Adakah kita ingin mengatakan bahawa di Britain moden, kita tidak mampu menjamin keselamatan masyarakat Yahudi di jalanan dan di stadium? Saya tidak boleh terima,” tegas beliau menerusi media sosial.
Sir Keir pula menulis di platform X bahawa tanggungjawab polis adalah memastikan semua penyokong bola sepak dapat menikmati perlawanan tanpa rasa takut atau ancaman keganasan.
Ketua Parti Konservatif, Kemi Badenoch turut menzahirkan rasa tidak puas hati dan menyifatkan keputusan tersebut sebagai aib nasional.
Insiden kekecohan bukanlah perkara baharu di Villa Park apabila sebanyak 39 tangkapan dibuat ketika kekacauan tercetus menjelang aksi menentang Legia Warsaw pada 2023.
Beberapa protes turut dilaporkan di pelbagai acara sukan berhubung konflik di Gaza, termasuk ketika pasukan kebangsaan Israel menentang Norway dan Itali dalam kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.
Pada November tahun lalu, pertembungan antara Ajax dan Maccabi Tel Aviv di Amsterdam turut menyaksikan kekecohan yang digambarkan oleh pihak berkuasa sebagai gabungan toksik antara antisemitisme, hooliganisme dan kemarahan terhadap perang di Gaza serta Timur Tengah.
Gencatan senjata di Gaza mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.
Ringkasan AI
- Penyokong Maccabi Tel Aviv tidak dibenarkan hadir perlawanan Liga Europa di Villa Park kerana faktor keselamatan
- Polis West Midlands mengklasifikasikan perlawanan sebagai berisiko tinggi berdasarkan insiden sebelumnya
- Aston Villa berhubung dengan Maccabi Tel Aviv dan pihak berkuasa tempatan mengenai isu keselamatan
- Keputusan menghalang penyokong pelawat dikritik oleh Perdana Menteri Britain dan lain-lain
- Insiden kekecohan dan protes berkaitan isu geopolitical melibatkan Israel pernah berlaku di acara sukan lain