Kelantan TRW mara suku akhir Piala FA. Foto The Real Warriors
PENGENDALI Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW), E Elavarasan menyifatkan kejayaan mara ke suku akhir Piala FA 2025/26 hadir hasil semangat juang pemain serta sokongan padu penyokong yang kembali membanjiri stadium selepas sekian lama.
Kelantan TRW menyingkirkan Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan agregat 3-2 meskipun tewas 0-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16 terbaik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.
Bekalan dua gol di Kota Bharu minggu lalu sudah memadai untuk memastikan kemaraan skuad TRW di hadapan 1,871 penonton.
“Pertama sekali, saya mahu ucap terima kasih kepada penyokong yang hadir memberi semangat.
“Aksi ini memang seimbang, 50-50, dan kelebihan kami hanyalah kerana memiliki bekalan dua gol di Kota Bharu. Secara keseluruhan, saya rasa kami bernasib baik,” katanya selepas perlawanan.
Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-71 menerusi Victor Ruiz untuk City Boys merapatkan jurang, namun tidak cukup buat mengesahkan kemaraan dalam perlawanan yang disaksikan 1,871 penonton itu.
Elavarasan turut memuji ketangkasan penjaga gol, Damyanov Damyan Valeriy yang menjadi benteng terakhir ampuh dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya KL City sepanjang 90 minit.
“Terus terang saya tidak sangka kami terpaksa bertahan hampir keseluruhan perlawanan termasuk sehingga masa tambahan. Namun, pemain bertahan dengan baik dan menunjukkan komitmen tinggi,” jelasnya.
Pada masa sama Elavarasan juga mengakui KL City memiliki pengalaman luas dalam saingan piala domestik, sekali gus menyifatkan kejayaan mara ke suku akhir sebagai pengalaman berharga buat TRW yang masih baru dibentuk musim ini.